RSS

Sunday, December 26, 2010

Istighfar dengan kemenangan

Assalamualaikum

Bersyukur dengan ketidakmenangan,istighfar atas ujian kejayaan yang diberikan.

Terpulang kepada para pembaca untuk mentafsir secara mendalam atau sekadar 'atas permukaan' atau superficial secara istilah popularnya.Kata kata hikmah yang saya bawakan di atas boleh diaplikasikan dalam kebanyakan situasi yang berputar dalam kehidupan seharian kita.

Seorang pelajar yang masih belum diberikan kecemerlangan dalam keputusan peperiksaannya perlu bersyukur(dengan syarat dia telah berusaha sebaiknya).Demikian pula kepada mereka yang mendapat kecemerlangan dalam natijah,perlu lebih mengucapkan kalam istighfar memohon keampunan daripada Allah.

Dalam perbincangan dalam mesyuarat,perbincangan,atau apa-apa keadaan yang menuntut kata sepakat,bersyukurlah apabila pendapat kita ditolak,sebaliknya banyakkan memohon ampun sekiranya pendapat kita diterima dan dijadikan kata putus.

Mungkin ini satu dimensi baru yang cuba saya bawakan melalui alam maya ini apabila berbicara tentang kesesuaian dalam melahirkan rasa syukur dengan keperluan memohon ampun daripadaNya Yang Maha Mengetahui perkara yang zahir dan tersembunyi.

Persepsi yang mungkin agak berlawanan dengan kelaziman dalam kehidupan yang saya maksudkan ini dapat disimpulkan melalui istilah TANGGUNGJAWAB.

Apabila seorang individu mendapat kejayaan dalam pelajarannya,maka sebenarnya tanggungjawabnya bertambah sebagai timbal balik kepada rezeki yang telah diperluaskan ke atas dirinya.Tanggungjawab untuk menjadikan orang lain juga secemerlang dirinya,tanggungjawab untuk menyelamatkan rakan-rakan yang kerap gagal,tanggungjawab untuk mengekalkan kejayaan itu dan yang paling penting tanggungjawab untuk merasakan bahawa kejayaan itu adalah disebabkan keizinanNya,membuang sejauh-jauhnya perasaan bahawa kejayaan itu adalah hak mutlak dan hasil mutlak usaha dirinya.Begitulah sebaliknya apabila diuji dengan kegagalan,kerana dari satu sudut bebanannya berkurang berbanding rakan yang cemerlang.

Boleh jadi kejayaan itu adalah ujian untuk dirinya,sama ada dia pandai menggunakannya ke jalan kebaikan atau sebaliknya.Apabila disebut sebagai ujian,maka kata akhirnya hanya satu antara dua, sama ada gagal atau berjaya.

Maka sangat patut mereka ini beristighfar supaya kejayaan atau kebaikan itu tidak sesekali menghasilkan natijah GAGAL di  penghujung jalan nanti.

Saya suka kaitkan situasi ini dengan bahang yang masih dirasai  dalam proses transisi pimpinan PERUBATAN pada ketika ini.

Saya secara peribadi,dan saya yakin barisan AJKT semasa juga,mampu menarik lafaz lega apabila melihat wajah-wajah barisan AJKT bayangan yang menang dalam pilihanraya baru-baru ini.Lafaz lega yang melambangkan kepercayaan kami untuk mereka yang akan meneruskan langkah-langkah kerdil kami,bahkan dengan langkah-langkah yang jauh lebih luas dan gagah lagi daripada sebelum ini.

Biar sesiapa pun yang dipilih,pesanan saya di sini hanya satu.With power come responsibilities.Apabila kita diberikan mandat atau kepercayaan oleh orang lain,hakikatnya yang bertambah adalah tanggungjawab untuk menyahut dan menyambutnya dengan sebaik mungkin.

Gunakanlah peluang keberadaan kalian itu sebagai medium untuk belajar dan beramal dari segala aspek yang mungkin,untuk masa depan dunia lebih utama untuk di negeri abadi.Satu hari kita akan meninggalkan posisi semasa kita,apa yang kita bawa hanyalah bekalan,atau pengajaran yang kita dapat sepanjang kita berada di posisi tersebut.Maka buatlah yang terbaik,supaya boleh memberikan yang terbaik,hasilnya juga yang terbaik daripadaNya insyaAllah,bukan untuk orang lain.Aabila kita berbuat baik kpeada orang lain,sebenarnya kita berbuat baik kepada diri sendiri kerana itulah yang akan menyelamatkan diri kita dari azab yang maha pedih.

Kami memohon ampun dan perlindunganMu Ya Allah, atas segala perkara yang baik dan yang buruk dalam kehidupan yang fana ini.

Doakan kita semua dapat menjalankan amanah sebaiknya supaya dapat menjawab dengan lancar apabila ditanya di akhirat nanti!

Wassalam.

Monday, November 8, 2010

8 November 2010

Assalamualaikum...

AlhamdulILLAH.Ini post kedua saya pada hari ini.Dan inilah kali pertama saya memuatkan dua entri dalam masa  sehari.Hari yang begitu istimewa untuk saya mengingati beliau yang paling layak saya berbuat baik kepadanya.Nama beliau mungkin tidak begitu popular untuk meniti bibir-bibir masyarakat,namun dirinya terlalu dekat di hati saya.Mungkin anda juga masih tidak mengenalinya yang menjadi sebab saya dan anda berjumpa di dunia ini.

Beliau yang bernama ZAINORA MOHAMED OZAIR seorang wanita yang terlalu istimewa untuk kami sekeluarga.Dengan perwatakan yang saya kira sederhana, beliau mempunyai cara tersendiri dalam mendidik seorang putera yang baru juga melayari kehidupannya tersendiri,serta 6 orang puteri yang sangat variasi dari segi perangai dan ketinggian :) (sekadar selingan).Pernah ditanya bagaimana beliau mengendalikan anak-anak yang begitu ramai dan begitu rapat jaraknya antara satu sama lain.Jawapannya ringkas,didiklah yang atas supaya boleh membantu menguruskan adik-adik pula!

Ketika kami kecil,selalu sahaja diadakan pertandingan bilik terbersih,(saya yang mempunyai strategi tersendiri untuk menang),pembahagian zon masing-masing untuk dibersihkan,misi pencarian duit di seluruh pelosok rumah dan sebagainya.Pada zaman adik-adik pula,demi memberikan semangat untuk membersihkan rumah,mereka diberikan title 'menteri-menteri' tertentu mengikut portfolio masing-masing.Menteri kasut dan menteri telekung paling saya ingati walaupun itu bukan era kami kategori A (saya dan adik beradik ke atas)Mungkin kerana kami agak ramai sehingga jarang merasa sunyi tanpa kehadiran jiran-jiran.

Satu lagi method yang saya kagum ialah teknik cold treatment yang diperkenalkan sepanjang tumbesaran kami.Silap langkah,malas untuk melaksanakan arahan hanya akan membuatkan kami menyesal apabila disishkan daripada membuat apa-apa pekerjaan walaupun mungkin secara zahirnya dilihat menguntungkan kerana boleh berehat.

Kini beliau membenarkan saya terbang jauh demi menimba ilmu.Satu pengorbanan yang saya kira tidak semua ibu mampu melakukannya.Terima kasih mak kerana......segalanya.Tiada kata yang mampu menggambarkan segalanya.

Moga dipanjangkan umur dalam kebaikan dan kerahmatan dariNya.

Jasa Facebook

Assalamualaikum...

"Saya bukan apa,bila join facebook ni dapatlah saya tahu macam-macam cerita tentang student itu dan ini" lebih kurang begitulah mafhum kata-kata Encik Khairi kepada kami beberapa hari yang lalu.Ya,dalam bab ini saya bersama dengan Encik Khairi.Boleh dikatakan kita dapat melihat true colours of almost everyone melalui kemudahan alam maya sebegini.

Hampir tidak percaya,sahabat yang dahulunya bertudung litup kini penampilan diri maaf saya katakan seperti tidak pernah diajarkan tentang aurat dan maruah seorang wanita.Tudung litupnya itu dahulu bukan setakat melepasi paras dada,bahkan layak digelar tudung 'seorang ustazah'.Ada juga sampai tahap yang kita sendiri berasa segan untuk meyebutnya.Mungkin dalam bab ini kita perlu mengkaji semula dan muhasabah bersama keberkesanan sistem pendidikan atau dalam bahasa arabnya pentarbiyyahan di bangku-bangku sekolah. Contohnya peraturan memakai tudung labuh ke sekian-sekian paras sekiranya dilaksanakan tanpa menerapkan pemahaman kepada para pelajar,kelak mereka akan memberontak di luar pagar sekolah.Tidak perlu pergi jauh.Cukup sekadar waktu outing.Satu kejayaan yang dibanggakan apabila terlepas dari belenggu peraturan yang tidak difahami.

Sebab itulah As Syahid Imam Hassan Al Banna rahimahuLLAH meletakkan ALFAHMU sebagai syarat utama dalam Rukun perjanjian melalui tulisan beliau Risalah At Ta'lim.

Benar,hidayah Allah itu milikNya.Bila-bila sahaja hidayah yang dikurnia boleh ditarik.Hari ini saya mampu berkata lantang,namun tidak mustahil nanti saya pula yang melakukan perkara yang sama.Na'uzubILLAH.Anggaplah kelantangan suara itu sebagai peringatan awal buat diri sendiri,serta teguran untuk para sahabat demi kebaikannya di sini dan di sana.

Saya yakin bukan saya seorang yang mengalami fenomena sebegini.Saat ini Facebook adalah laman sosial paling popular bukan sahaja dalam kalangan muda mudi,bahkan setiap peringkat umur!Saya berterima kasih kepada insan yang terlibat dalam penghasilannya,meskipun kita sedia maklum baik dan buruk kesan penggunaannya hampir 50-50.Terpulang kepada kita.

Antara sebab saya berterima kasih kepada insan-insan anonymous di sebalik tabir FB ialah kerana melaluinya saya berpeluang menatap muka guru-guru saya di sekolah rendah yang sangat meninggalkan kesan dalam diri dan seluruh kehidupan saya sehingga kini.Banyak rakan taulan yang sudah lama terputus hubungan dapat saya hubungi,dan dapatlah diketahui perkembangan semasa masing-masing baik secara fizikal mahupun dari sudut yang lebih luas daripada itu.

Namun ada kalanya mengetahui sesuatu yang tidak berapa sedap telinga mendengar,tidak enak dipandang mata memang mengundang kesedihan.Kerisauan,kebuntuan,dan kematian akal,mengapa segalanya berubah sehingga mungkin hampir 360 darjah.In Medicine no news is not a good news,and it applies here.Semacam tidak mahu mendengar perkembangan yang mengecewakan.Namun realiti tetap perlu dihadapi dan itulah gambaran tugas yang sedang menanti di hadapan buat semua.

Baru-baru ini pula saya sempat berkongsi rasa dengan seorang sahabat.Risaunya dia memikirkan keadaan teman serumah yang sungguh berani meninggalkan solat terang-terangan.Aurat pun sudah tidak menjadi pertimbangannya.Saya sendiri pun belum pernah diletakkan di situasi begini yang begitu menguji keteguhan iman.(Ya Allah janganlah Kau bebankan kami perkara yang tidak mampu kami pikul).Pernah katanya cuba membuat cubaan melarikan diri dari suasana yang begitu melakarkan perasaan berdosa kerana insan sekeliling yang begitu mudah meruntuhkan tiang agama di hadapan mata.Namun yakinlah sahabat,Allah tidak mungkin akan memberikan taklifan (tanggungjawab) itu kepada mereka yang tidak mampu menghadapinya.Tahniah kerana menjadi insan pilihanNya!

Apa-apa pun sentiasalah mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan yang mampu membantu kejayaan dakwah kita.Baik sekarang mahupun di masa akan datang keperluan dakwah itu mendesak.Sekarang mungkin kita berada di zon selesa.Sekeliling kita adalah orang yang sentiasa mengamalkan solat-solat sunat,amalan zikir-zikir harian.Komuniti kita bersih daripada segala jenis maksiat.AlhamduLILLAH.Namun perlu diingat,bagaimana mungkin dikatakan kita beriman sedangkan kita masih belum pernah diuji.Ya Allah.Permudahkanlah jalan kami untuk sentiasa berada di jalanMu ini.

Monday, October 25, 2010

Pemenang sebenar

Assalamualaikum

Sungguh, saya sudah lama tidak melepaskan gian dengan menulis di ruang maya ini.Sudah genap 2 purnama pun.Alhamdulillah,ada rezeki untuk membersihkan 'sawang2' yang ada.Walaupun pada permulaan langkah ketika enjin masih dalam proses pemanasan dan tidak pasti apakah bentuk  ilham yang datang,moga-moga bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain.

Sejak akhir-akhir ini hati berasa begitu tenang dengan pengajaran daripada Surah Al Hasyr, ayat 20.

"Tidak sama para penghuni neraka dengan para penghuni syurga,para penghuni syurga itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan''

Terjemahannya mudah,namun maksudnya amat mendalam sekali.

Kayu ukur atau benchmark yang diletakkan manusia dalam mendefinisikan KEJAYAAN DALAM KEHIDUPAN adalah bersifat subjektif.Skopnya terlalu luas dan tiada pilihan jawapan A,B,C atau D.Ada orang merasa dirinya di puncak kejayaan apabila dirinya mendapat pengiktirafan masyarakat berkaitan pencapaian dirinya.Sesetengah individu mungkin merasa cukup apabila dapat melakukan perkara yang menarik minatnya,tanpa memikirkan keperluan sekeliling terhadap dirinya.Malangnya wujud juga golongan yang langsung tidak endah dengan pencapaian dirinya dalam kehidupan seharian,hanya melalui sahaja detik-detik yang berlalu dalam kehidupannya tanpa merancang perjalanan di dunia ini walaupun ia bersifat sementara.

Tetapi melalui salah satu daripada ayat-ayat terakhir dalam Surah Al Hasyr, Allah Taala membantu kita menilai kejayaan itu dari perspektif berbeza yang tentunya bersifat 'tidak boleh disangkal lagi'.FirmanNya,orang-orang yang diisytiharkan sebagai pemenang adalah orang yang dipilih sebagai ahli syurga.Berdasarkan keputusan penilaian adilNya di Hari Perhitungan,golongan tersebut dikategorikan dalam satu kumpulan.Kumpulan berkenaan khabarNya tidak sama dengan mereka yang di golongan satu lagi, di mana pada ketika itu antara dua nasib kita.Sama ada tergolong dalam kumpulan pertama atau sebaliknya.Maka tentulah tidak sama mereka yang menjadi penghuni syurga(kumpulan pertama) dengan mereka yang menjadi ahli neraka(kumpulan kedua)

Setelah panjang usia kita habiskan di dunia ini,maka TERPUTUSLAH segala yang kita ada di dunia selain 3 perkara,sebagai penyelamat kita di alam selepas alam dunia yang fana (mafhum hadith).Ibarat perantau,sekiranya kita sentiasa sedar akan hakikat dunia ini hanyalah persinggahan,tentu kita tidak mahu membuang masa di sini.Kita pasti berusaha bersungguh-sungguh mengutip segala bekalan sebagai persediaan kehidupan yang selama-lamanya.

Maka sentiasalah mengingatkan diri sendiri dan orang lain supaya mengenali apakah perkara yang patut direbut dan perkara yang patut ditinggalkan di dalam perjalanan menuju destinasi ini supaya penghujung kisah kita nanti,natijah kita adalah sebagai seorang PEMENANG kerana bergelar penghuni syurga yang sama sekali tidak sama dengan penghuni neraka.Na'uzubILLAH.

Allahu 'alam.Wassalam

Abou Rish,25 Oktober 2010.

Tuesday, August 31, 2010

Fikrah at-Tanmiyyah

Assalamualaikum

Hari ini antara hari-hari awal saya kembali merancakkan perjalanan di sekitar bumi Kaherah setelah hampir sebulan setengah meninggalkannya.Panas keringnya bukan kepalang.Cabaran Ramadhan di sini agak berbeza dengan di tanah air.Kemeriahan dalam kesederhanaan lebih  terasa apabila waktu maghrib kian menjelang.

Selama itu saya tinggalkan Mesir,boleh dikatakan selama itu jugalah saya meninggalkan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.Pagi-pagi hari ketika mula menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah,kemahiran berbahasa terus teruji melayan karenah pak cik pembawa teksi~

Kisah pada hari ini,sekitar isu berbahasa dengan rakyat tempatan.Hati terasa puas apabila dapat berbicara dengan bahasa penjaga kedai dalam keadaan yang difahaminya.Hasrat saya berjaya disampaikan walaupun terdapat juga istilah Bahasa Inggeris yang digunakan berkaitan cermin mata,photo grey,transition etc.Di akhir perbualan ketika hendak membayar deposit, encik tersebut meminta saya membayar LE200 ,ataupun LE300 katanya walaupun harga yang patut saya bayar hanyalah LE150?Apakah???:)

Wednesday, August 18, 2010

Panggilan DariNya

Assalamualaikum.

Salam 9 Ramadhan 1431H.Moga tempoh kerahmatan dalam bulan Ramamdhan pada tahun ini dan seterusnya menjanjikan untuk kita juga antara hamba-hamba yang mendapat rahmat daripadaNya.Biarpun tempias cuma daripada lautan kerahmatan daripada Allah,pasti cukup untuk menjadikan kita orang yang paling bahagia hidup di dunia yang bersifat sementara.

Alhamdulillah.Segala puji selayaknya untuk Allah Taala Tuhan sekalian alam.

Antara pelajaran yang saya dapati melalui tempoh peperiksaan yang lalu ialah kemahiran dan kepentingan untuk mengawal emosi dalam diri supaya tumpuan menjadi fokus kepada kecemerlangan yang ingin dicapai.Emosi merangkumi segala bentuk yang berkaitan dengan rasa gembira,sedih,bersemang atau sebaliknya,serba tak kena,terlalu bahagia,rasa hendak marah tidak tentu pasal atau ada pasal ,dan sebagainya.Semua itu perlu diseimbangkan supaya bersesuaian dengan setiap keadaan.

Friday, August 13, 2010

Gelombang Islam

Assalamualaikum

Hari  ini 14 Ogos 2010,sudah sebulan beberapa hari saya menghabiskan masa-masa lapang di bumi bertuah Malaysia .Moga setiap detik yang berlalu dikira sebagai berfaedah kepada diri sendiri dan ummah.

Saya memerhatikan perubahan di sini setelah beberapa lama tidak menjejakkan kaki di tanah tumpah darah ini.Cuba sebanyak mungkin mengambil pengajaran yang boleh dibuat renungan bersama.

Wednesday, August 11, 2010

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya...

Assalamualaikum...

Bismillah Walhamdulillah.Pagi ini saya melalui pagi hari tanpa keriuhan adik-adik di rumah.Cuma tinggal kakak-kakak dan abang.Itu pun awal-awal lagi pasangan penganting baru itu  sudah bersiap keluar mencari rezeki.Hari ini hari terakhir untuk kita sama-sama membuat persiapan terakhir sebelum menyambut kedatangan tetamu istimewa bernama Ramadhan al-Mubarak.Di Mesir ungkapan 'Ramadhan Kareem' biasanya dibalas dengan 'Allahu Akram'.Terima kasih kepada senior saya yang mengajar kemahiran tersebut beberapa tahun dahulu ketika kami masih bergelar super junior di Kaherah.

Semalam adalah hari kepulangan adik-adik ke tempat belajar masing-masing.Dari Shah Alam,Bangi sampailah ke Jasin,Melaka.Alhamdulillah pemergian mereka adalah kelana ilmu.Pengorbanan yang sangat mulia,terlalu bernilai jika dibandingkan dengan cuti-cutiku sekiranya ia tidak diisi dengan perkara berfaedah juga:).Nasihatkan,dan doakan saya,moga-moga masa yang terluang ini mampu dijadikan peluang untuk lebih memahami agamaNya.

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya,pasti Allah memberikannya kefahaman dalam beragama.Bukan semua orang mendapat kefaham tersebut.Gelaran professor mahupun doktor dalam jurusan pengajian Islam pun tidak sesekali menjadi jaminan seseorang itu mendapat kefahaman yang sahih dalam proses mengenal Yang Maha Esa.Ada orang yang sekolahnya tidak setinggi mana,tetapi cahaya hidayah yang menembusi dirinya mampu menjadikan darjatnya di sisi Allah jauh lebih tinggi berbanding hamba-hamba yang lain.Sebab itu kita tidak boleh terlalu cepat menghukum seseorang berdasarkan latar belakang yang kita nampak sahaja.Ada kisah seorang perempuan pada zaman Rasululullah SallAllahu alaihi wasallam yang namanya tidak begitu dikenali dan tidak juga disebut-sebut dalam sejarah...namun apabila kewafatannya Baginda SAW terperasan ketiadaan insan yang sering membersihkan masjid pada hayatnya dahulu.Beliau mungkin tidak masyhur di bibir-bibir manusia,tetapi keperibadian yang mulia bejaya mendapat tempat di hati Rasulullah SAW yang pastinya dapat membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Wednesday, July 14, 2010

Imam Muda

Assalamualaikum

Sambil menghadap komputer,mata saya sempat menjeling kaca televisyen.Rancangan realiti tv paling ilmiah pernah saya saksikan,dibawakan khas untuk anda oleh astro oasis & @15.-IMAM MUDA-Ini kali pertama saya ikuti siaran ini di Malaysia biarpun ia merupakan siaran ulangan.Saya memuji sikap team di sebalik usaha murni ini bagi mempelbagaikan method dakwah.Kesungguhan mereka bagi merealisasikan galasan tanggungjawab amar maa'ruf nahi munkar adalah sesuatu yang patut disokong oleh setiap Muslim yang berkongsi cita-cita yang sama,melihat akhirnya Islam berjaya semula mentadbir dunia.

Lagaknya tidak jauh lari daripada rancangan realiti tv Akademi Fantasia yang menjadi antara perintis rancangan yang kurang faedah kegilaan remaja,tidak kurang yang sudah lanjut usia.Setiap episod pasti ada yang akan tersingkir.Namun,'penyingkiran' itu pastinya berbeza antara kedua-dua rancangan.Semoga setiap saudara kita diberikan hidayah dan tawfiq oleh Allah,dipimpin olehNya hingga ke penghujung usianya.

Saya percaya,keberadaan mereka (team rancangan Imam Muda)di tengah2 masyarakat adalah sesuatu yang bukan mudah,memecahkan temboh yang sudah hampir sebati dengan masyarakat umum pada hari ini.Usaha mereka untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup yang semakin tidak asing lagi dalam kehidupan seharian.Kalaupun kita tidak terlibat secara langsung dengan usaha mulia ini,sekurang-kurangnya jadilah orang yang menyenangi tindakan mereka dan cuba sebaiknya menyebarkan idea soleh mereka ini.

Terlalu banyak kerja yang menanti kita di bumi Malaysia tercinta ini.Ya,saya cinta akan tanah air saya,terutama pada saudara seagama saya kerana kita adalah sebahagian antara satu sama lain.Robbana yusahhil.

WASSALAM WARAHMATULLAH.

Sunday, June 13, 2010

Terima kasih semua

Assalamualaikum


Hari ini saya berazam untuk ‘membersihkan sawangan‘di blog ini.Alhamdulillah peperiksaan subjek pertama sebagai pembuka tirai final exam tahun 4 kuliah perubatan telah selesai sebentar tadi.Segala puji hanya kembali kepada Allah Pemilik langit dan bumi dan segala yang berada di antara keduanya.

Jika tahun lepas,waktu sebegini kami dilanda iklim kelam dan suram,dek ujian 5 bersaudara dalam tragedi Ain Sukhnah yang kesannya dirasa bersama sahabat-sahabat gen^6.Terlalu banyak yang dipelajari melalui insiden ini.Pemergian Allahyarham ‘Ammar menghadap Ilahi pastinya merupakan tamparan hebat kepada keluarga beliau,selain sahabat-sahabat setianya di sini.Al-Fatihah buat Allahyarham,insyaAllah di tempatkan bersama-sama golongan yang diredhai dan mendapat naunganNya.Ameen.

Peristiwa ini juga agak signifikan bagi saya sendiri kerana terlalu dekat dengan tarikh untuk saya merakamkan penghargaan kepada mak dan ayah,serta orang-orang di sekeliling saya yang menjadikan hidup saya sebagai sebuah cerita kehidupan.Allah menciptakan kita daripada pelbagai rupa,ragam,warna dan kecenderungan adalah untuk kita berkenal-kenalan dan supaya beroleh manfaat antara satu sama lain.Kita memang hidup menggunakan kaedah simbiosis.You complete me and we complete each other.J

Monday, May 31, 2010

Doa Untuk Mereka

Assalamualaikum


Dengan nama Allah Yang Maha Perkasa,Yang Maha Menurunkan malaikatNya sewaktu peperangan Badar,Yang Maha Memuliakan barangsiapa yang dikehendaki,dan Menghinakan barangsiapa yang layak mendapatkannya..

Sudah lama tidak menconteng-conteng di halaman ini.Cuba menyibukkan diri dalam medan perjuangan yang cukup sinonim dengan pendamba ilmu pada hari ini.Tetapi amatlah tidak patut jika isu saudara-saudara satu akidah kita dibiarkan berlaku tanpa sedikit pun terdetik sensitiviti kita terhadap keadaan mereka sekarang.Ya, rasa kebersamaan itu adalah antara kayu ukur keimanan semasa kita yang sentiasa ada turun naiknya.

Saya sedar,saya agak terbelakang dalam mengikuti isu Lifeline4gaza yang dipelopori oleh negara Turki ini.Talian hayat untuk Palestin ini disertai oleh pelbagai negara dari seluruh pelusuk dunia dengan menyumbang segala yang mungkin demi membina semula sebuah negara yang sudah hilang daripada lakaran peta dunia ciptaan mereka yang zalim.Orang yang zalim sebenarnya menzalimi diri sendiri,kerana balasan yang akan menimpanya hasil tangannya pada satu hari yang pasti.Berkali-kali dipesan perkara ini dalam firmanNya yang Maha Benar.

Mungkin kita terfikir apalah sangat yang boleh kita lakukan dalam keadaan kita di sini yang tidak mungkin mampu menyalurkan apa-apa bantuan kemanusiaan mereka di sana.Sudahlah dalam tempoh peperiksaan...Jangan memandang rendah walaupun hanya sekadar status di YM atau di dinding2 facebook yang menyatakan rasa tidak setuju kita dengan apa yang berlaku!

Paksalah diri untuk 'sibuk-sibuk' dalam isu ini.Adakanlah rasa kesedihan itu walaupun ia tidak datang pada detik yang pertama,kerana itulah bukti kita masih sebahagian daripada mereka.Mafum hadith,sesiapa yang tidak mengambil berat perihal kaum Muslimin,maka dia bukan daripada kalangan mereka...

Apa yang boleh kita lakukan  ialah setidak-tidaknya mengetahui perkembangan yang berlaku kepada wakil –wakil kita yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam kapal Mavi Marmara itu.Dan gunakanlah senjata yang hanya dimiliki oleh orang Mukmin iaitu DOA.Berdoalah bersungguh-sungguh dengan ikhlas,buangkan jauh-jauh segala sifat mazmumah yang mungkin menjadi penghalang kepada doa kita.Mudah-mudahan doa kita untuk keselamatan sahabat2 di sana antara doa yang mustajab dan diperkenankan olehNya.
Mudah-mudahan kejadian ini juga membangkitkan semangat kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu di musim peperiksaan ini.Apalah sangat kesusahan kita berbanding kegusaran mereka yang bertaruh dengan nyawa~



SALAM IMTIHAN.

Tuesday, May 11, 2010

Mak,lapo!

Assalamualaikum

Demi membuktikan bahawa hari-hari adalah hari emak,post kali ini saya dedikasikan khas buat mak saya Puan Zainora Mohamed Ozair.

Mungkin saya juga bukan orang yang pandai meluahkan apa yang dirasai.Ada masanya kita tidak reti menzahirkan untuk semua orang tahu apa yang tersirat di sebalik yang nampak di luar.Itulah gunanya ruangan blog seperti ini :D

Klausa kata yang menjadi tajuk post ini lazim dituturkan ketika usia masih dikenali sebagai 'jagung-jagung' muda yang belum masak.Bukan loghat perak yang ingin di highlight kan...tetapi adalah untuk menyatakan itulah yang terlintas di fikiran saya ketika cuba mengimbas kembali quotation yang sebati apabila bersama mak.Mungkinkah sindrom ingin membesar ketika itu?:PNamun itu cerita dulu.

Sunday, May 2, 2010

Wahid Wa'isyrin

Assalamualaikum

Petang itu kami beramai-ramai bertolak ke stesyen Ramsis untuk menaiki kenderaan meneruskan perjalanan ke Iskandariah.Ada beberapa pilihan untuk ke sana.Sama ada menaiki kereta api atau van-van yang kami panggil tremco atau microbus.Untung juga duduk di bandar sesibuk Kaherah ini,kenderaan awam selalunya tidak menjadi masalah kerana di setiap pelosok ibu negara ini apa yang pasti didapati ialah kelompok manusia!Mana tidaknya,jumlah penduduk di Kaherah sahaja hampir sama dengan penduduk di Malaysia.

Cuti musim panas di sini memang menyeronokkan.Dan mengasyikkan juga bagi mereka yang ingin mencari 'kebebasan' yang tidak didapati semasa kuliah rancak berjalan terutama kepada pelajar perubatan.Kaki ringan melangkah sehingga ke Madinah Nasr,kawasan penempatan pelajar jurusan agama Universiti Al Azhar.Jika bersama mereka,selalu berasa untungnya kita di bumi Mesir ini..Hanya tinggal beberapa tahun sahaja untuk dihabiskan insyaAllah.Selepas ini medannya di Malaysia~

Kami sepakat menaiki tremco untuk ke destinasi.Sebelum itu,teman-teman yang menjadi ajk pelaksana program sudah berpesan nama stesyen di sana yang akan kami turun nanti.Ah,bukan tidak pernah ke Alex...ikut sahaja arus yang telah dilalui dahulu...

Thursday, April 22, 2010

Politikus

Assalamualaikum.

Saya tidak mahu menggenapkan tempoh sebulan blog ini tidak di update,walaupun tinggal beberapa hari sahaja untuk mencukupkannya:)Sebenarnya macam2 insiden yang menarik untuk dikongsi bersama kebelakangan ini.Tapi sifat menagguh itu memang pencuri masa.Banyak agenda yang tergendala jika setiap perkara itu tidak dianggap penting untuk dilangsaikan.

Pagi ini saya sempat mengikuti sedikit sebanyak perkembangan di tanah air kita melalui blog seorang azhari.Cerita tentang sidang parlimen yang sedang berlangsung.Tersenyum sinis juga saya membacanya~
Orang yang minat politik jangan marahkan saya...

Monday, March 29, 2010

30 Mac 2010

Assalamualaikum...

Hari ini antara tarikh yang diingati oleh kami adik beradik.Tarikh yang selalu menjadikan kami tercari-cari apakah bukti yang bersesuaian untuk dipersembahkan sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.Dahulu,tarikh ini juga merupakan peluang untuk kami terus menyebut-nyebut harapan kami yang menggunung,Alhamdulillah doa kami didengari Allah dan telah dimakbulkan olehNya.Mintalah pertolongan daripada Allah yang sangat dekat.Moga doa untuk yang baik-baik itu akan terus berkekalan untuk dikabulkan~

Moga entri kali ini menjadi hadiah daripada saya yang kejauhan di mata,tetapi tidak pernah tersisih di hati :)

Terima kasih kerana perkataan 'pengorbanan' yang sudah sebati dalam diri..Berkorban masa,tenaga,wang ringgit,keringat,kebahagiaan,dan segala-galanya.

Terima kasih kerana menjadi ketua keluarga yang terbaik.Mendidik kami supaya menjadi hamba yang mengenal Allah

Terima kasih kerana selalu mengingatkan kami untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.Meskipun peringatan itu tidak setiap kalinya dengan kata-kata,tetapi bukti jelas terpancar daripada setiap langkah dan pengorbanan yang dilakukan...maka kami perlu berjaya!

Tidak mungkin kata-kata yang ditaip ini dapat menggambarkan keseluruhan perasaan saya terhadap.........



DATO' AHMAD KAMIL BAHARUM (hehe...ayah nak ke gelaran ni???)


Semoga dipanjangkan umur dalam kebaikan dan keberkatan...

Sunday, March 14, 2010

Pelajaran-pelajaran Kehidupan

Assalamualaikum...

Lewat petang kami sampai ke Hayyu 'Asyir.Kami cuba untuk sampai awal,harapannya agar dapat berjumpa dengan keluarga Allahyarham sebelum mereka keluar semula.Sebaik kami tiba,mereka sedang bersiap-siap bertolak ke tanah perkuburan anakanda tercinta.Kambusannya masih segar,lantaran diselesaikan awal beberapa jam sebelum mereka sempat menjejakkan kaki ke bumi anbiya' ini.Tidak sampai hati untuk menyatakan hasrat,kami mengambil keputusan untuk menunggu beberapa ketika di asrama Rumah Selangor.Kredit untuk Rozana yang melayan tetamu-tetamu' kejutan' seperti kami.Rasa seperti sudah menjadi geng biarpun baru beberapa ketika bersua muka.:d

Selepas maghrib,kami menanti dengan debaran juga.Berfikir-fikir tentang perkataan2 menenangkan yang wajar dipertutur dalam keadaan kelam sebegini.Mulanya kami hampir mengatur langkah pulang memandangkan pak cik dan mak cik sedang berehat di dalam villa@ rumah tamu di sini.Alhamdulillah,tidak lama selepas itu rupa-rupanya Allah memberi peluang kepada kami untuk bersama dengan mereka yang dekat denganNya,memberi rezeki kepada kami untuk belajar tentang siri-siri kehidupan yang tidak didapati di dalam buku-buku teks di kuliah.

Thursday, March 4, 2010

Putaran Kehidupan

Assalamualaikum~

Seronok pula meletakkan gambar2 menarik dalam blog.Barulah berseri sedikit kelihatan.Berkat seri pengantin:)Alhamdulillah,seorang lagi sahabat saya telah selamat diijabkabulkan pada 15 Januari 2010 yang lalu.Cuti musim sejuknya digunakan sebaiknya mengatur langkah bertukar status bersama insan pilihan diri dan Allah insyaAllah.Nur Afida dan Saifuddin..(sebelah kanan).Moga kalian dipermudahkan dalam urusan membina albait almuslim ini yang bakal  menjadi  salah satu penyumbang kepada kebangkitan ummah.InsyaAllah~Juga buat kakaknya yang juga sudah bergelar isteri pada hari sebelumnya.Alhamdulillah.

Saturday, February 27, 2010

~Al-Amin Menerajui Teladan Sepanjang Zaman~

Assalamualaikum

Selawat dan salam buat kekasih yang terlebih dahulu menyatakan rasa cinta kepada kita yang masih tidak wujud lagi di dunia pada ketika itu.Moga2 kitalah saudara2 yang dirindui Baginda SAW iaitu daripada golongan mereka yang beriman.Jika benarlah Baginda SAW merupakan kekasih agung kita,maka buktikanlah dengan selalu mengingatinya bukan terhad sewaktu sambutan Maulidurrasul sahaja.

Leih-lebih lagi buat dia yang menuturkan atau menaipkan kata-kata ini.Moga-moga bersama bantuan Allah dalam melaksanaka amalan yang tidak dinilai sebagai yang sia-sia di sisiNya.

Malam itu hujan yang turun bersama kilat dan guruh yang menghiasi suasana dirasakan seperti satu rahmat sempena ulangtahun kelahiran Rasulullah SAW berabad yang lalu.Keadaan yang jarang-jarang sekali berlaku di tanah Nabi Musa dan Fira'un ini.Mesir ditimpa hujan!Air bertakung di jalanan akibat ketiadaan sistem perparitan di bumi padang pasir.

Wednesday, February 24, 2010

Terima kasih untuk kunci



Assalamualaikum


Ini adalah gambar pertama yang saya letakkan dalam blog ini.Gambar yang diambil ketika kami anak-anak madrasah wasathiyah keluar sarapan ke mat'am Gad di Syari' Fouad.Saya masih ingat jumlah perbelanjaan kami pada pagi itu,sebab kebetulan saya yang memegang duit ketika itu.Segan rasanya ingin dinyatakan di sini :)

Pada saat saya menaip perkataa2 ini,pasangan di atas sudah berada di Malaysia meneruskan kehidupan di tanah air tercinta.20 Februari 2010 yang lalu kami beramai-ramai turun ke Cairo International Airport utk memberi penghormatan yang bukan terakhir kepada 2 insan kesayangan ramai ini.Saya takut untuk bermain perasaan pada hari tersebut,Takut untuk melayan rasa sedih dan sebak yang akan membuatkan jiwa saya resah dan tidak keruan.Saya lihat banyak juga mata yang mengalirkan air mata jernih.

Friday, February 12, 2010

Saya pencinta wanita :)

Assalamualaikum...

Sudah lama rasanya tidak meluangkan masa menulis di sini.Ada beberapa hasil yang masih menjadi simpanan dalam draft.Tidak tahu bila masa pula akan lengkapkan.Semoga Allah permudahkan langkah kita dalam kebaikan.Hari ini lebih kurang separuh masa pertama cuti winter.Senyap juga suasana sekeliling.Ada yang ke Turki,Ireland,Sinai,Bahriyya,Scotland,dan entah ke mana lagi.Saya masih di Kaherah.InsyaAllah malam ini akan ke muhafazah Tanta.Oh,jauhnya percutian saya,selain ma'radh kutub(pesta buku) yang juga menjadi destinasi pilihan:)

Namun saya seronok dengan keadaan beigini.Bukan tidak 'tercabar' dengan sahabat2 lain yang terbang jauh mengibas2 sayap masing2.Saya rasa satu ketika dahulu sayalah orang yang paling bersemangat mengaturkan destinasi sana dan sini.Merancang negara mana yang ingin dijejaki sepanjang kelana saya di negara orang.Bukan semua orang berpeluang sebegini.Tapi.itulah~rezeki masih belum ada setakat ini.InsyaAllah,Dia akan permudahkan jalan.Mohonlah padaNya,sesungguhnya kurniaanNya sangat luas.Moga pintu2 rezeki kita yang berkat itu datang daripada pintu2 yang disangka dan tidak disangka2~

Thursday, January 28, 2010

Mutiara dari kekasih KEKASIH

.....kekasih      =Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam
.....KEKASIH=Allah Azza Wa Jalla

Assalamualaikum

Alhamdulillah.Segala puji selayaknya bagi Tuhan Yang Maha Menciptakan.Dalam pengajian hadith bersama al-Fadhil Ustaz minggu lepas terasa begitu sekejap.Kali ini beliau membacanya satu persatu dan lebih banyak huraiannya pada setiap hadith.Mungkinkah Ust nak mengelakkan saya daripada mengantuk lagi dalam kelasnya...

InsyaAllah saya akan berkongsi sebanyak mungkin intipati untuk setiap hadith yang dipelajari dalam kitab ringkasan Sahih Bukhari susunan Abi Jamrah ini.Semoga Dia sudi menerimanya~

pesanan :apa yang dicatatkan di sini adalah berdasarkan pemahaman saya hasil bimbingan Ustaz Fauwaz.Minta tolong betulkan untuk mana-mana kesilapan yang disedari.Mohon izin untuk menggunakan terjemahan kalimah yang lebih mudah difahami dalam bahasa ibunda kita.

Tuesday, January 19, 2010

Catatan ambang peperiksaan

Assalamualaikum

Alhamdulillah.Segala puji selayaknya untuk Allah.Sebentar tadi saya rasa sakit.Sekarang sudah sihat.Tadi saya rasa sedih,Alhamdulillah sekarang rasa lebih bersemangat.

BERKAT DOA EMAK AYAH

Saya percaya doa yang paling mustajab untuk diri saya sekarang ini ialah doa kedua ibu bapa saya sendiri.Bekait semula dengan tajuk entri yang lepas 'birru walidain'.Sekejap sahaja Allah uji saya dengan menarik nikmat kesihatan.Kini sudah dikembalikan semula pinjaman nikmat tersebut.

Saya hantar masej pada mak dan ayah.Bukan untuk risaukan mereka.Tetapi untuk memohon doa.Berkatnya doa orang yang paling dekat dengan kita.Cepat betul Allah kabulkan permintaan saya.Alhamdulillah.Terima kasih mak dan ayah,kerana menjadi insan yang kupanggil 'mak' dan 'ayah'.Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang mendoakan.


USAHA,USAHA JUGA.

Dahulu saya agak malas makan ubat apabila sakit.Mahu membina antibodi diri yang lebih kuat kononnya.Ya,memang dari segi saintifik fakta itu ada.Terlalu bergantung pada ubat kadang kala memberi kemudaratan kepada diri sendiri.(benarkah kenyataanku wahai sahabat2 se'medic'ku?)

Namun,satu pengajaran yang ingin saya kongsikan dalam insiden ini ialah kita mesti mencari musabbab untuk membolehkan sesuatu taqdir Allah berlaku.Tugas kita sebagai hamba adalah memberikan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.Nasib baiklah Allah rahsiakan suratan yang tertulis untuk kita.Kalau tidak pasti kita akan selalu bermuram duka,sedih atas suratan yang tidak diimpikan.Biarlah ia menjadi rahsia Allah,supaya kita menganggap setiap yang berlaku dalam diri kita PASTI ADA HIKMAHNYA.Terima kasih ya Allah kerana menyimpannya dari pengetahuan kami.

Mencari hikmah dalam setiap perkara~

Sunday, January 17, 2010

Birru Walidain

Assalamualaikum

Dalam kelas pengajian hadith bersama Ustaz Fauwaz yang lepas saya amat2lah mengantuk.(ust jangan kecik hati ye:-p).Mungkin sebab k Aniah masak sedap sangat.Banyak pula saya makan.Lepas tu rohani pula dah penat untuk menerima minyak pelincir.Haih~

Saya cuba belek2 kembali intipati hadith yang mungkin saya boleh kongsikan di sini.Ada.Tapi tak berani pula saya nak taipkan di sini.Takut lain daripada maksud sebenar daripada hadith.Hurm.patutlah Rasulullah SAW pesan,kalau mengantuk sebelum solat(sedang waktu solat masih panjang),maka sepatutnya kita tidur dahulu.Ye la,dalam keadaan mengantuk kadang-kala mengigau.Lain pulak bacaaan kita.Takut2 tersebut perkataan yang mendoakan kecelakaan diri sendiri:(.Nauzubillah.

Saya cuba selak kembali helaian yang kami teladani bersama Syeikh Yusri.Kalau tidak melalui galakan Ustaz,saya tidak tahu bila masa akan saya berpeluang berguru dengan Sheikh Yusri di Masjid Al-Azhar As-Syariff.

Mata saya tertumpu pada bab ke 138 hadith 3004 tentang bab tuntutan memohon keizinan daripada kedua ibu bapa sebelum pergi keluar berjihad.

Daripada Abdullah bi Amru Al-As,Rasulullah SAW bertanya kepada salah seorang sahabat yang memohon izin Rasulullah SAW untuk menyertai jihad pada ketika itu,sama ada sudahkah dia mendapatkan keizinan kedua orang tuanya terlebih dahulu.Apabila sahabat tersebut mengiyakan pertanyaan Baginda SAW,barulah dia dibenarkan menyertai jihad tersebut.

Lihatlah.Dalam kita membuat kebaikan pun,Islam menyeru untuk kita mendapat restu kedua ibubapa.Apatah lagi untuk perkara-perkara lain.Tambah2 lagi untuk sahabat2 yang berada jauh daripada pandangan mereka.Samada di luar negara mahupun di Malaysia.Kadang kala kita lupa ada dua insan yang menjadi penyebab redhanya Allah pada kita atau sebaliknya.

Kita berbuat baik kepada ibubapa bukan kerana payahnya mereka menjaga kita di waktu kecil.Kalau begitu anak orang kaya tidak perlu berbuat baik kepada mereka kerana dahulu ibubapanya menyambut kelahiran dan membesarkannya dengan senang lenang dan kebahagiaan yang berpanjangan.Kita juga menyayangi ibubapa kita bukan kerana mereka terlebih dahulu menyayangi kita sejak kita mengenali dunia.Kalau begitu,anak2 yang 'kurang kasih sayang' bolehlah mengabaikan ibubapa mereka kerana tiada kasih yang perlu dibalas atau dibayar kembali.

TAPI,kita kasih,sayang,cinta,dan sentiasa ingin menggembirakan hati emak dan ayah kerana mereka adalah mereka.Untuk saya,kerana mereka adalah Zainora Mohamed Ozair dan Ahmad Kamil Baharum.Mereka yang menjadi penyebab saya mengenali siapa Tuhan saya.Mereka yang menjadi penyebab saya tahu tujuan saya diciptakan.Mungkin mereka sendiri tidak tahu merekalah yang menjadi penyebab untuk segala insiden yang berlaku dalam kehidupan saya,suka atau duka.Saya menyayangi mereka kerana Allah telah tuliskan,merekalah sebagai emak dan ayah saya di dunia.InsyaAllah di akhirat juga.Ameen~

Apa yang menarik,hari saya belajar hadith tersebut merupakan antara tempoh saya makin rasa beruntung dan bersyukur,kerana masih mempunyai emak dan ayah untuk berkongsi segala.Untuk sahabat2 yang masih mempunyai kedua ibubapa,mari kita gunakan peluang ini sebaiknya untuk membahagiakan mereka.Saya percaya,mereka akan berasa paling bahagia jika kita menjadi anak yang soleh dan solehah dan taat pada perintah agama.Ayuh,berusaha menjadi baik demi membahagiakan emak dan ayah!Bagi sahabat2 yang telah tiada salah seorang atau keduanya,insyaAllah kita sama2 doa kebahagiaan dan ketenangan mereka di sana.Ingat,doa anak yang soleh tidak akan pernah putus daripada menjadi penyelamat mereka di alam sana.

Till then,WASSALAM.

Monday, January 11, 2010

Intipati kelas

Assalamualaikum...

Jam sudah menunjukkan ke angka pagi.Lepas pulang dari kelas Ust Fauwaz~mungkin beberapa kelas terakhir sebelum ustaz berangkat pulang ke tanah air medan menabur bakti,meneruskan tradisi mewarisi tugas para Nabi,membawa insan lebih mengenal Sang Pencipta.InsyaAllah.

Kalau nak ikutkan sedih,memang sedih.Sebab insan yang banyak meninggalkan kesan dalam hidup saya di Mesir akan melangkah pergi.(namun insyaAllah akan ada pengganti :D).Ustaz baca ni mesti rs bangga.he2.Tapi ustaz pasti lebih bangga kalau ilmu yang diwasiatkan kepada kami dapat kami manfaatkan untuk diri sendiri dan kegemilangan ummah~ameen.'With knowledge comes responsibilities'

Dalam ruang yang ada ini,insyaAllah saya akan cuba menukilkan knowledge yang menjadi responsibilities itu.

KITA TIADA APA-APA

Sesi kelas pada kali ini banyak juga menyentuh hati,mengingatkan diri bahawa kita bukan siapa2 di dunia ini.Dalam hadith pertama yang kami baca,dikisahkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Baginda SAW melihat syurga ramainya golongan fakir,,manakala golongan wanita mempelopori bilangan ahli neraka.NAUZUBILLAH.Imam Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa kelebihan yang diberikan Allah tidak berkadar langsung dengan kemuliaan.Buktinya ramai orang miskin yang menjadi penghuni syurga.Namun bukanlah bermaksud Islam menggalakkan ummatnya menjadi miskin,malah kitalah agama yang memerangi kemiskinan.Orang kaya yang bersyukur adalah lebih mulia daripada orang miskin yang bersabar.Apa yang perlu kita ingat ialah di mana pun kedudukan kita,yang membezakan siapa kita jawapannya dalam satu perkataan iaitu TAQWA.

Karamah juga tidakmenggambarkan bahawa seseorang itu mulia berbanding dengan mereka yang tiada karamah.Sahabat yang meriwayatkan hadith pertama ini bernama "imran bin Husain.Beliau antara yang diberikan karamah.Namun tentunya Saidina Abu Bakr As-Siddiq lebih afdhal biarpun tiada karamah seperti yang dimiliki oleh Imran.

DON'T UNDERESTIMATE

Satu lagi perkara yang mengingatkan diri bahawa kita ini bukan siapa2.Dalam tafsir Surah An-Naml yang kami teladani bersama menceritakan kisah Nabi Sulaiman AS yang mendapat berita kewujudan kerajaan Saba' milik Ratu Balqis melalui perantaraan burung hud2.Kalau nak diikutkan kedudukan,Nabi Sulaiman adalah salah seorang insan yang diberi peluang oleh Allah untuk memerintah dunia selain Dzulqarnain.Hebat tak hebat jika dibandingkan dengan si kecil hud2 itu.Intipatinya,usah sesekali memandang rendah pada sesuatu perkara.Mungkin sahaja kebenaran itu datang dari bibir mereka yang biasa2 sahaja.Allah boleh memberikan hidayah dan tawfiq kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki.Hal ini boleh kita kaitkan dengan pengislaman budak kecil semasa pemergian Rasulullah SAW ke Thoif.Walaupun fokus utama Rasulullah SAW mungkin lebih tertumpu kepada dewasa dan pembesar2 di Thoif,namun kejayaan itu Allah salurkan dengan cara yang berbeza.

Rasanya cukup setakat ini dahulu.Mata dah mengantuk.Salam dari Sayeda Zeinab..

Tuesday, January 5, 2010

Dua perkara

Assalamualaikum~

Lama sudah tidak ketemu.Sudah masuk tahun baru.Dengan kata lain post saya yang lepas adalah pada tahun lepas!walaupun baru hanya beberapa hari tahun 2009 melabuhkan tirai.Banyak sahaja perkara yang ingin dikongsikan.Kalau tak dapat buat semua,jangan tinggalkan semua.

Dalam membuat persediaan sebelum memberi tumpuan kepada komitmen yang besar kurang sebulan sahaja lagi~ada dua perkara yang ingin saya kongsikan,untuk ingatan kepada diri sendiri dan sahabat2 seperjalanan.

Ilmu

Kita tidak akan mampu memberi kalau kita tidak mempunyai apa2.Demikian yang selalu Ustaz Fauwaz kami pesan pada anak2 muridnya.Bagaimana mungkin kita memberi sedangkan kita tidak punyai apa2 untuk dikongsikan.Ilmu yang saya maksudkan termasuklah ilmu kemahiran dalam merancang,menimbangtara antara yang yang baik dan yang lebih baik,bijak dalam bermain dengan situasi dan mencari peluang untuk kebaikan bersama dan banyak lagi.Hidup ini memang untuk memberi.Kalau kita mahu umur kita panjang,buatlah baik pada orang,jadilah insan yang bermanfaat kepada yang lain.InsyaAllah kita tetap akan 'hidup' di hati mereka walaupun jasad sudah berada dalam perut bumi.

Taqwa

Saya fikir ini bab yang lebih penting untuk kita utamakan.Taqwa yang membezakan siapa kita di sisiNya, di mana ranking kita di pandanganNya.Rugilah amalan yang kita lakukan,penat lelah kita seharian sekiranya segalanya berlalu tidak bertunjangkan ketaqwaan kepada Allah.Maka ke manakah arah tujuan dalam setiap perbuatan?Konotasi kepada perkataan taqwa adalah sangat luas,sebab itu saya memilihnya sebagai elemen terpenting dalam setiap perkara yang dilakukan,.Terpulang pada kalian untuk mentafsirnya.


Selepas ini insyaAllah saya akan cuba melakar kembali mutiara ilmu yang berya dikutip sebagai bahan isi blog ini.Tidak terhad kepada cetusan pendapat semata2.Lakukanlah segalanya untuk hasil yang lebih baik di negeri abadi kerana di situ destinasi kita.Moga tercipta di sana mahligai untuk kita berehat dan bersenang2.Dunia bukan tempatnya~

Wassalam warahmatullah