RSS

Friday, March 9, 2012

Nak @ Tak Nak Marah?

Assalamualaikum

Kata Abdul Wahhub kepada bapa mertuanya,jangan marah..nanti kena jual!


Ada orang berpesan pada saya.. marah itu ada pelbagai macam.Selalu orang memandang kemarahan itu sesuatu yang negatif walaupun ada juga yang bersifat sebaliknya.Mari kita raikan dahulu pandangan dari sudut pertama.Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 134,antara sifat orang yang bertaqwa ialah kemampuannya mengawal kemarahan.Orang yang berjaya mengawal kemarahannya adalah orang yang kuat sebenarnya.Dia berjaya mengalahkan syaitan yang sentiasa bertugas mengapi-apikan ledakan kemarahan supaya meletup ke luar.Hal ini bukanlah sesuatu yang mudah,buktinya ialah bukan semua orang berjaya melakukannya.Ada seorang kenalan saya satu ketika selalu mengadu bahawa dia sukar mengawal kemarahannya,walaupun dia tersangat teringin berbuat demikian.Moga Allah mempermudahkan jalan kebaikan dan urusannya di dunia dan akhirat.Saydina Ali KWJ pernah membatalkan niatnya untuk membunuh musuh yang meludah ke muka beliau.Ketika itu nyawanya sudah berada di hujung pedang Saydina Ali KWJ yang mulia.Hal ini kerana beliau bimbang tindakannya adalah disebabkan rasa marah dengan ludahan tersebut,maka niatnya akan terpesong daripada yang asal iaitu untuk berperang di jalan Allah Taala... Maha suci Allah yang menjaga kehalusan hati Saydina Ali KWJ...Rasulullah SAW pernah menegur Saydina Usamah kerana membunuh tentera kafir yang mengucapkan kalimah tauhid.Pada sangkaan Saydina Usamah ucapan itu tidak benar-benar datang daripada hati.Maka adakah engkau (Saydina Usamah)  mengetahui isi hatinya??Kemungkinan ketika itu perasaan marah ke atas tentera kafir begitu menggunung sehingga Saydina Usamah gagal mempertimbangkan tindakannya melafazkan kalimah tauhid.

Pandangan dari sudut yang kedua pula,perasaan marah ini ada juga baiknya.Namun prinsipnya mestilah satu,iaitu marah kerana Allah.Bagaimanakah yang dikatakan dengan marah kerana Allah?

Selalu kita mendengar kisah sirah nabawiyyah,Rasulullah SAW akan merah padam mukanya sekiranya ada perkara yang tidak senang di hati berlaku di depan mata Baginda SAW menahan kemarahannya supaya marahnya bertempat dan menjadi hikmat.Jauh sekali untuk menyakiti sahabat di sekelilingnya.Nabi Musa AS setelah kepulangannya daripada Bukit Thursina,bertindak memarahi Nabi Harun AS kerana disangka Nabi Harun AS membiarkan dan tidak bertindak sewajarnya kepada kaum mereka yang kufur setelah datang nur hidayah.Baginda AS menjadi begitu marah kerana begitu mengharapkan kebaikan untuk ummatnya iaitu kembali kepada ajaran yang benar.
 
Dahulu ketika kecil ada juga waktunya saya dimarahi emak.Jiwa mentah ketika itu sukar untuk memahami mengapa diri ini harus dimarahi.Marah itu ada waktunya menjadi tanda kasih sayang.Sebab jika orang sudah tidak peduli ,kita akan ditinggalkan tanpa mengendahkan apa yang akan terjadi.
 
Letakkanlah kemarahan kita pada tempatnya.Jika tersalah,kita tewas dengan perangkap syaitan yang bersifat lemah..
 
Wassalam.