RSS

Wednesday, August 18, 2010

Panggilan DariNya

Assalamualaikum.

Salam 9 Ramadhan 1431H.Moga tempoh kerahmatan dalam bulan Ramamdhan pada tahun ini dan seterusnya menjanjikan untuk kita juga antara hamba-hamba yang mendapat rahmat daripadaNya.Biarpun tempias cuma daripada lautan kerahmatan daripada Allah,pasti cukup untuk menjadikan kita orang yang paling bahagia hidup di dunia yang bersifat sementara.

Alhamdulillah.Segala puji selayaknya untuk Allah Taala Tuhan sekalian alam.

Antara pelajaran yang saya dapati melalui tempoh peperiksaan yang lalu ialah kemahiran dan kepentingan untuk mengawal emosi dalam diri supaya tumpuan menjadi fokus kepada kecemerlangan yang ingin dicapai.Emosi merangkumi segala bentuk yang berkaitan dengan rasa gembira,sedih,bersemang atau sebaliknya,serba tak kena,terlalu bahagia,rasa hendak marah tidak tentu pasal atau ada pasal ,dan sebagainya.Semua itu perlu diseimbangkan supaya bersesuaian dengan setiap keadaan.


Golongan wanita sering dijadikan sasaran apabila bercakap tentang emosi.Dahulu saya seperti mahu membuang sahaja sifat-sifat yang dikaitkan dengan wanita yang seolah-olah menampakkan kelemahan jiwa perempuan.Namun sehingga kini saya masih mengingati kisah yang dikongsi oleh Al-Fadhilah Ustazah Amirah.Pesan beliau,perempuan secara fitrahnya cepat bertindak dalam keadaan kecemasan.Mungkin juga didorongkan dengan emosi yang berada dalam diri,seorang ibu pantas dan sensitif melindungi anak kecilnya daripada serangan binatang merbahaya ataupun sekadar nyamuk kecil.Kisah salah seorang sahabiah yang begitu berani mempertahankan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ketika dalam salah satu peperangan juga merupakan bukti kecerdasan wanita dalam memanipulasi emosi untuk manfaat orang lain.

Bercakap tentang emosi,selalunya emosi yang tidak stabil dikaitkan dengan rasa tidak ceria,sedih,tiada semangat,atau dalam keadaan yang lebih serius rasa putus asa.Tidak kira apa jua insiden yang berlaku,bentuk emosi sebegini pastinya biasa dialami oleh setiap yang bergelar insan biasa.Tidaklah salah 'rasa-rasa' itu selagi ia tidak dizahirkan dengan perbuatan yang mengundang mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.Namun perlu diingat perasaan tersebut tidak boleh dibiarkan terlalu lama merajai diri,takut-takut menjadi lebih parah dan sukar diubati serta menjejaskan kualiti hidup.

Berilah peluang kepada diri untuk mengubati dengan apa jua cara yang dibenarkan agama.Bagi orang-orang yang beriman,mereka pasti menyedari hakikat kebahagian itu adalah apabila kita kembali kepada Tuhan.Rasa tenang dalam diri,kelapangan jiwa hanya didapati apabila hati mengingatiNya.

Apabila kita ditimpa ujian kecil mahupun besar,anggaplah demikian merupakan panggilan dariNya kepada hamba yang diberi perhatian.Panggilan supaya kita beralih fokus kepadaNya.Panggilan supaya kegala keresahan dan kegusaran dalam diri diserahkan hanya kepada Yang Maha Penyayang.Mengadulah kepadaNya,jika kita yakin Dia Maha Mendengar...pasti kita akan berasa sayu kerana Allah ada dalam keadaan apa jua sekalipun.Dia bukan sahaja Maha Mendegar,tetapi juga Maha Memperkenankan doa.

Menjadi hamba yang paling YAKIN dengan doa,serta paling REDHA dengan ketentuanNya~

Demikian merupakan antara mesej sahabat-sahabat menjelang musim peperiksaan....yang sangat relevan untuk diaplikasikan dalam kehidupan setiap Muslim.

Saya tidak menulis kerana sedang berada dalam keadaan sedih atau dalam kesusahan :).Sekadar berkongsi pengajaran melalui pengalaman yang dilalui dalam tempoh yang mendewasakan ini.

Selayaknya kita berasa malu apabila hanya pulang kepadaNya apabila berada dalam kesusahan..mengenangkan banyaknya dosa-dosa yang disengajakan mahupun sebaliknya di masa lampau.Malu yang bertempat menjadi benteng yang menyelamatkan.Tetapi janganlah malu,sehingga seolah-olah kita terlupa bahawa Allah itu Maha Pengampun,manusia itu lemah dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.Sebaik-baik antara mereka ialah mereka yang bertaubat dan kembali kepadaNya.

To err is human,to forgive is Divine.

Selamat berusaha yang terbaik untuk tarbiyyah di bulan Ramadhan.

WASSALAM.

0 comments: