RSS

Wednesday, August 11, 2010

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya...

Assalamualaikum...

Bismillah Walhamdulillah.Pagi ini saya melalui pagi hari tanpa keriuhan adik-adik di rumah.Cuma tinggal kakak-kakak dan abang.Itu pun awal-awal lagi pasangan penganting baru itu  sudah bersiap keluar mencari rezeki.Hari ini hari terakhir untuk kita sama-sama membuat persiapan terakhir sebelum menyambut kedatangan tetamu istimewa bernama Ramadhan al-Mubarak.Di Mesir ungkapan 'Ramadhan Kareem' biasanya dibalas dengan 'Allahu Akram'.Terima kasih kepada senior saya yang mengajar kemahiran tersebut beberapa tahun dahulu ketika kami masih bergelar super junior di Kaherah.

Semalam adalah hari kepulangan adik-adik ke tempat belajar masing-masing.Dari Shah Alam,Bangi sampailah ke Jasin,Melaka.Alhamdulillah pemergian mereka adalah kelana ilmu.Pengorbanan yang sangat mulia,terlalu bernilai jika dibandingkan dengan cuti-cutiku sekiranya ia tidak diisi dengan perkara berfaedah juga:).Nasihatkan,dan doakan saya,moga-moga masa yang terluang ini mampu dijadikan peluang untuk lebih memahami agamaNya.

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya,pasti Allah memberikannya kefahaman dalam beragama.Bukan semua orang mendapat kefaham tersebut.Gelaran professor mahupun doktor dalam jurusan pengajian Islam pun tidak sesekali menjadi jaminan seseorang itu mendapat kefahaman yang sahih dalam proses mengenal Yang Maha Esa.Ada orang yang sekolahnya tidak setinggi mana,tetapi cahaya hidayah yang menembusi dirinya mampu menjadikan darjatnya di sisi Allah jauh lebih tinggi berbanding hamba-hamba yang lain.Sebab itu kita tidak boleh terlalu cepat menghukum seseorang berdasarkan latar belakang yang kita nampak sahaja.Ada kisah seorang perempuan pada zaman Rasululullah SallAllahu alaihi wasallam yang namanya tidak begitu dikenali dan tidak juga disebut-sebut dalam sejarah...namun apabila kewafatannya Baginda SAW terperasan ketiadaan insan yang sering membersihkan masjid pada hayatnya dahulu.Beliau mungkin tidak masyhur di bibir-bibir manusia,tetapi keperibadian yang mulia bejaya mendapat tempat di hati Rasulullah SAW yang pastinya dapat membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat.



Tempoh 1/3 pertama Ramadhan adalah tempoh KERAHMATAN,diikuti tempoh KEAMPUNAN dan tempoh KEBEBASAN DARIPADA API NERAKA pada 1/3 yang terakhir.Bagi penuntut ilmu(ditujukan kepada semua kerana kita adalah penuntut ilmu hingga ke akhir hayat) gunakanlah fasa pertama ini untuk berusaha sebaiknya meningkatkan ilmu pengetahuan.Dahulu ayah saya pernah berpesan,katanya tiada perbezaan ilmu agama(seperti aqidah,fiqah) dan ilmu akademik(seperti matematik dan geografi).Sebenarnya semua ilmu adalah 'ilmu agama' kerana semuanya milik Allah dan saling berkait menjadi bukti kehebatan Yang Maha Esa.Istilah yang dicipta mungkin bagi memudahkan kefahaman masyarakat,walaupun secara makna yang lebih mendalam setiap cebisan ilmu merupakan pinjaman daripada Allah Taala.

Usah sempitkan bidang ilmu kepada jurusan yang kita ceburi sahaja.Kita tidak pernah rugi mendapat ilmu dan kemahiran,yang menentukan sejauh mana manfaat ilmu tersebut ialah apabila kita menggunakannya untuk manfaat agama dan ummah.Mafhum hadith Rasulullah SAW,sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Namun dalam masa yang singkat berbanding banyaknya tanggungjawab yang perlu dipikul(seperti kata-kata Al Imam Hassan al-Banna,tanggungjawa kita lebih banyak berbanding masa yang ada) kita perlu bijak dalam memilih ilmu yang menjadi keutamaan untuk kita mendalaminya.Contohnya jika kita dalam bidang perubatan,ilmu berkaitan urusan agama yang paling penting selain ilmu fardhu ain ialah fiqh perubatan yang akan dipraktikkan dalam bidang kerjaya nanti.Itulah ilmu yang menjadi kewajipan kepada doktor Muslim untuk menguasainya.Jika dia seorang ustaz daripada jurusan pengajian Islam secara langsung,dia perlu benar-benar mendalami bidangnya untuk merawat penyakit masyarakat,bukan hanya tertakluk pada silibus di tempat pengajian sahaja.Seni dakwah juga perlu dikuasai supaya mesej Islam mudah meruap dalam jiwa masyarakat yang semakin gersang dengan sinar keimanan.

Dia yang rajin


Walau di mana pun kita berada,jangan jemu untuk menjadi pendamba ilmu kerana sungguh tidak sama orang yang tahu berbanding orang yang tidak tahu.Dan sesungguhnya orang yang paling takutkan Allah ialah orang yang mengenalinya iaitu golongan 'ulama.Jadilah 'ulama atau istilah lainnya orang yang benar-benar faqih(pakar) dalam bidang masing-masing.Bersungguh-sunguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan kerana Allah sangat sukakan orang yang begitu bersungguh dalam pekerjaannya.

Salam 1 Ramadhan.

Wassalam.

0 comments: