RSS

Sunday, October 23, 2011

Cintailah Aku,Cintailah Keturunanku

Assalamualaikum

Di tahun-tahun akhir ini kerap juga perasaan rindu kepada keluarga di Malaysia bertandang dalam jiwa.Beberapa minggu yang lepas apabila saya berbual dengan emak,beliau begitu bersemangat bercerita kepada saya bahawa beberapa hari sebelumnya mereka menziarahi sepupu saya di rumahnya.Puteri tunggalnya yang bongsu kelihatan sangat seiras dengan saya sewaktu kecil.Pandangan itu pastilah hanya boleh dinilai oleh kedua ibu bapa saya serta mereka yang sempat menyaksikan saya ketika gigi masih belum tumbuh.Kata emak,hilang juga rindunya kepada anak yang seorang ini apabila melihat si kecil itu~

Melihat seseorang mampu mengingatkan kita kepada orang lain...

Apatah lagi jika insan yang diingatkan melalui orang yang di hadapan mata itu merupakan insan yang paling disayangi,melebihi ibu dan ayah,suami dan isteri,anak-anak dan sahabat handai, mahupun diri sendiri.

Malam tadi ketika kali pertama melihat wajahnya secara langsung dan dekat,hati rasa tersentuh,sebak dan semacam ada perasaan yang tidak mampu diterangkan.Mungkin kerana mengetahui fakta bahawa insan yang sedang menyusun kata-kata,melontarkan hikmah di hadapan kami ini merupakan daripada keturunan semulia-mulia insan.Ketika itu hati saya menjerit-jerit mahu melafazkan rasa terima kasih kepada sahabat saya yang telah mengajak saya untuk merasai keindahan majlis ilmu bersama insan yang layak disayangi ini.

Pada pagi hari yang sama, Fadilat AsSyaikh Dr Yusri Al Hasani membacakan hadith kepada kami yang bermaksud ajarilah anak-anak kamu dengan 3 perkara iaitu mencintai aku (Baginda صلى الله عليه وسلم ), mencintai ahlil bait,dan mencintai tilawah Al Quran.AlhamduLILLAH pengajaran hadith tersebut menjadi sebab kaki ini berjaya digagahi untuk diatur ke perhimpunan penuh barakah bersama para ulama' yang mulia..

Wednesday, October 19, 2011

Kuat Untuk Ummat!

Assalamualaikum

Tengah hari tadi (12 Oktober) selepas tamat kelas sesi pertama saya mengatur langkah ke gerai makanan bersama salah seorang sahabat saya.Kami berjalan sepantas mungkin kerana sudah tidak lama lagi sesi pengajian kedua akan bermula.Walaupun keadaan kelam kabut itu agak memenatkan,namun perut perlu juga diisi dan itu sering menjadi antara prioriti! Ada sahabat saya jika sudah letih bekerja dan diberi pilihan antara tidur atau makan (dalam keadaan perut yang kosong) tidur menjadi pilihan demi menghilangkan kepenatan.Tetapi jika saya berada di tempatnya,selalunya saya akan memilih untuk makan! :D

Sahabat yang berjalan bersama saya tadi mengatakan,hidupnya bukan untuk seorang.Laparnya akan memberi kesan kepada insan lain.Oh,dia sudahpun bergelar puan,anaknya masih menyusu secara tabi'e.Perut perlu diisi dengan makanan berkhasiat supaya menghasilkan susu yang baik untuk tumbesaran si anak.Maka apakah peranan saya untuk mengisi perut untuk kali ini? Adakah kelaparan saya akan memberi kesan kepada insan lain? Saya berfikir dan hasilnya tecetuslah entri kali ini...

Moga Allah menerima amalan kita semua.Saya berharap makanan yang diambil adalah untuk menjana tenaga...kerana tidak lapar saya (bukan kenyang) harap-harapnya adalah untuk orang ramai... supaya tenaga dapat dijana.Dalam konteks sebagai seorang pelajar,tidak lapar itu mampu meningkatkan daya fokus supaya dapat memahami pelajaran dengan lebih baik.Apabila ada kekuatan,inshaAllah segala aktiviti menjadi lebih mudah dan efektif.