RSS

Sunday, December 26, 2010

Istighfar dengan kemenangan

Assalamualaikum

Bersyukur dengan ketidakmenangan,istighfar atas ujian kejayaan yang diberikan.

Terpulang kepada para pembaca untuk mentafsir secara mendalam atau sekadar 'atas permukaan' atau superficial secara istilah popularnya.Kata kata hikmah yang saya bawakan di atas boleh diaplikasikan dalam kebanyakan situasi yang berputar dalam kehidupan seharian kita.

Seorang pelajar yang masih belum diberikan kecemerlangan dalam keputusan peperiksaannya perlu bersyukur(dengan syarat dia telah berusaha sebaiknya).Demikian pula kepada mereka yang mendapat kecemerlangan dalam natijah,perlu lebih mengucapkan kalam istighfar memohon keampunan daripada Allah.

Dalam perbincangan dalam mesyuarat,perbincangan,atau apa-apa keadaan yang menuntut kata sepakat,bersyukurlah apabila pendapat kita ditolak,sebaliknya banyakkan memohon ampun sekiranya pendapat kita diterima dan dijadikan kata putus.

Mungkin ini satu dimensi baru yang cuba saya bawakan melalui alam maya ini apabila berbicara tentang kesesuaian dalam melahirkan rasa syukur dengan keperluan memohon ampun daripadaNya Yang Maha Mengetahui perkara yang zahir dan tersembunyi.

Persepsi yang mungkin agak berlawanan dengan kelaziman dalam kehidupan yang saya maksudkan ini dapat disimpulkan melalui istilah TANGGUNGJAWAB.

Apabila seorang individu mendapat kejayaan dalam pelajarannya,maka sebenarnya tanggungjawabnya bertambah sebagai timbal balik kepada rezeki yang telah diperluaskan ke atas dirinya.Tanggungjawab untuk menjadikan orang lain juga secemerlang dirinya,tanggungjawab untuk menyelamatkan rakan-rakan yang kerap gagal,tanggungjawab untuk mengekalkan kejayaan itu dan yang paling penting tanggungjawab untuk merasakan bahawa kejayaan itu adalah disebabkan keizinanNya,membuang sejauh-jauhnya perasaan bahawa kejayaan itu adalah hak mutlak dan hasil mutlak usaha dirinya.Begitulah sebaliknya apabila diuji dengan kegagalan,kerana dari satu sudut bebanannya berkurang berbanding rakan yang cemerlang.

Boleh jadi kejayaan itu adalah ujian untuk dirinya,sama ada dia pandai menggunakannya ke jalan kebaikan atau sebaliknya.Apabila disebut sebagai ujian,maka kata akhirnya hanya satu antara dua, sama ada gagal atau berjaya.

Maka sangat patut mereka ini beristighfar supaya kejayaan atau kebaikan itu tidak sesekali menghasilkan natijah GAGAL di  penghujung jalan nanti.

Saya suka kaitkan situasi ini dengan bahang yang masih dirasai  dalam proses transisi pimpinan PERUBATAN pada ketika ini.

Saya secara peribadi,dan saya yakin barisan AJKT semasa juga,mampu menarik lafaz lega apabila melihat wajah-wajah barisan AJKT bayangan yang menang dalam pilihanraya baru-baru ini.Lafaz lega yang melambangkan kepercayaan kami untuk mereka yang akan meneruskan langkah-langkah kerdil kami,bahkan dengan langkah-langkah yang jauh lebih luas dan gagah lagi daripada sebelum ini.

Biar sesiapa pun yang dipilih,pesanan saya di sini hanya satu.With power come responsibilities.Apabila kita diberikan mandat atau kepercayaan oleh orang lain,hakikatnya yang bertambah adalah tanggungjawab untuk menyahut dan menyambutnya dengan sebaik mungkin.

Gunakanlah peluang keberadaan kalian itu sebagai medium untuk belajar dan beramal dari segala aspek yang mungkin,untuk masa depan dunia lebih utama untuk di negeri abadi.Satu hari kita akan meninggalkan posisi semasa kita,apa yang kita bawa hanyalah bekalan,atau pengajaran yang kita dapat sepanjang kita berada di posisi tersebut.Maka buatlah yang terbaik,supaya boleh memberikan yang terbaik,hasilnya juga yang terbaik daripadaNya insyaAllah,bukan untuk orang lain.Aabila kita berbuat baik kpeada orang lain,sebenarnya kita berbuat baik kepada diri sendiri kerana itulah yang akan menyelamatkan diri kita dari azab yang maha pedih.

Kami memohon ampun dan perlindunganMu Ya Allah, atas segala perkara yang baik dan yang buruk dalam kehidupan yang fana ini.

Doakan kita semua dapat menjalankan amanah sebaiknya supaya dapat menjawab dengan lancar apabila ditanya di akhirat nanti!

Wassalam.