RSS

Monday, October 25, 2010

Pemenang sebenar

Assalamualaikum

Sungguh, saya sudah lama tidak melepaskan gian dengan menulis di ruang maya ini.Sudah genap 2 purnama pun.Alhamdulillah,ada rezeki untuk membersihkan 'sawang2' yang ada.Walaupun pada permulaan langkah ketika enjin masih dalam proses pemanasan dan tidak pasti apakah bentuk  ilham yang datang,moga-moga bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain.

Sejak akhir-akhir ini hati berasa begitu tenang dengan pengajaran daripada Surah Al Hasyr, ayat 20.

"Tidak sama para penghuni neraka dengan para penghuni syurga,para penghuni syurga itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan''

Terjemahannya mudah,namun maksudnya amat mendalam sekali.

Kayu ukur atau benchmark yang diletakkan manusia dalam mendefinisikan KEJAYAAN DALAM KEHIDUPAN adalah bersifat subjektif.Skopnya terlalu luas dan tiada pilihan jawapan A,B,C atau D.Ada orang merasa dirinya di puncak kejayaan apabila dirinya mendapat pengiktirafan masyarakat berkaitan pencapaian dirinya.Sesetengah individu mungkin merasa cukup apabila dapat melakukan perkara yang menarik minatnya,tanpa memikirkan keperluan sekeliling terhadap dirinya.Malangnya wujud juga golongan yang langsung tidak endah dengan pencapaian dirinya dalam kehidupan seharian,hanya melalui sahaja detik-detik yang berlalu dalam kehidupannya tanpa merancang perjalanan di dunia ini walaupun ia bersifat sementara.

Tetapi melalui salah satu daripada ayat-ayat terakhir dalam Surah Al Hasyr, Allah Taala membantu kita menilai kejayaan itu dari perspektif berbeza yang tentunya bersifat 'tidak boleh disangkal lagi'.FirmanNya,orang-orang yang diisytiharkan sebagai pemenang adalah orang yang dipilih sebagai ahli syurga.Berdasarkan keputusan penilaian adilNya di Hari Perhitungan,golongan tersebut dikategorikan dalam satu kumpulan.Kumpulan berkenaan khabarNya tidak sama dengan mereka yang di golongan satu lagi, di mana pada ketika itu antara dua nasib kita.Sama ada tergolong dalam kumpulan pertama atau sebaliknya.Maka tentulah tidak sama mereka yang menjadi penghuni syurga(kumpulan pertama) dengan mereka yang menjadi ahli neraka(kumpulan kedua)

Setelah panjang usia kita habiskan di dunia ini,maka TERPUTUSLAH segala yang kita ada di dunia selain 3 perkara,sebagai penyelamat kita di alam selepas alam dunia yang fana (mafhum hadith).Ibarat perantau,sekiranya kita sentiasa sedar akan hakikat dunia ini hanyalah persinggahan,tentu kita tidak mahu membuang masa di sini.Kita pasti berusaha bersungguh-sungguh mengutip segala bekalan sebagai persediaan kehidupan yang selama-lamanya.

Maka sentiasalah mengingatkan diri sendiri dan orang lain supaya mengenali apakah perkara yang patut direbut dan perkara yang patut ditinggalkan di dalam perjalanan menuju destinasi ini supaya penghujung kisah kita nanti,natijah kita adalah sebagai seorang PEMENANG kerana bergelar penghuni syurga yang sama sekali tidak sama dengan penghuni neraka.Na'uzubILLAH.

Allahu 'alam.Wassalam

Abou Rish,25 Oktober 2010.