Pagi tadi buat kesekian kalinya saya melambaikan tangan kepada sahabat yang pulang bercuti ke tanah air tercinta. Kadang kala terusik juga perasaan rindukan keluarga dan suasana bahagia di Malaysia.AlhamduLILLAH setiap kali itu jugalah rasa syukur timbul kerana insyaAllah saya diberikan Allah peluang buat kali kedua,mungkin juga yang terakhir untuk menikmati dan menimba pengalaman yang sangat mahal di cuti musim panas dalam tahun-tahun akhir keberadaan di bumi anbiya’ bumi penuh barakah ini.
Hari ini,sejak beberapa minggu yang lalu mahasiswa Mesir digemparkan dengan isu hak mahasiswa yang dicabuli oleh beberapa insan yang sudah semakin tercemar nama baiknya di peringkat mahasiswa di sini ,mahupun di seluruh pelusuk dunia di mana sahaja terdapatnya pencinta kebenaran.Isu ini saya fikir sudah sampai ke Malaysia disebabkan semua maklumat hanya berada di hujung jari.
Isu BERSIH 2.0 yang hangat di Malaysia menempiaskan juga bahangnya di negara-negara yang terdapat warganegara Malaysia seperti Australia,Korea,Kanada dan lain-lain.Mesir juga tidak ketinggalan menunjukkan kebersamaan rakyat yang menuntut diadakan pilihanraya yang bersih khususnya menjelang PRU ke 13 tidak lama sahaja lagi.Namun apa yang tiada di negara lain tetapi ada di Mesir ialah terdapat beberapa mahasiswa yang melibatkan diri secara langsung menyertai perhimpunan AMAN ini dikenakan tindakan yang sesekali tidak adil iaitu dibuang universiti serta merta!
Bagi saya secara peribadi , rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kebebasan bersuara seperti yang sudah lama diamalkan di negara-negara barat yang lain.Mereka begitu menekankan soal human rights atau dalam bahasa ibundanya hak asasi manusia. Menyatakan apa yang dirasai secara aman tanpa mengancam mana-mana pihak merupakan sesuatu hak individu dan masyarakat yang perlu dihormati. Namun semua ini disekat,tambah-tambah lagi di peringkat mahasiswa yang dianggap masih tidak matang dalam memikirkan hal-hal penting seperti urusan politik dalam negara, pembangunan ekonomi,salahlaku pimpinan dan sebagainya.
Darah muda yang mengalir dalam jiwa ini tidak membenarkan untuk saya berdiam diri dan tidak bergerak menjadi sebahagian daripada watak dalam percaturan ini.Mahasiswa jiwanya bersifat kental,bercita-cita besar dan bersemangat waja dalam mencapai apa sahaja yang menjadi keinginan dirinya. Sebab itu ramai yang berpendapat peringkat mahasiswa merupakan tempoh kritikal seseorang dalam menentukan pembentukan peribadinya puluhan tahun akan datang.Jalan yang dipilih oleh mahasiswa ketika waktu kemuncak inilah yang akan menghala ke arah mana jalan hidupnya selepas ini.Maka mahasiswa perlu jelas pada kedudukan mana di berada.Atas dasar apa perjuangan dan slogan yang dilaungkan oleh diri dan kumpulannya.
Isu pencabulan hak mahasiswa di Mesir khususnya dalam bidang pengajian Islam ini melibatkan bukan seorang dua.Salah satu mangsa yang paling mendapat perhatian umum ialah Ustaz Mohd Firdaus Madzlan yang dibuang terus daripada peserta Kursus Lanjutan di Darul Ifta’ ,institusi latihan untuk bakal mufti yang berada secara terus di bawah pantauan Sheikh Ali Jumuah,mufti Mesir pada ketika ini.Hal ini berlaku selang beberapa hari sebelum peperiksaan terakhir dan hari graduasi beliau.Bukan itu sahaja,seramai 40 orang pelajar tajaan negeri Perak disenaraikan daripada mereka yang mungkin akan ditarik zakat,juga mahasiswa di bawah tajaan negeri Terengganu yang turut dihadapkan dengan ancaman yang sama.Alasannya hanyalah satu,menyertai perhimpunan BERSIH yang dengan jelas diadakan secara AMAN!
Jika ada yang mengatakan bukankah awal-awal lagi BERSIH itu sudah tidak mendapat permit , maka saya nyatakan pendapat saya awal-awal lagi hak rakyat untuk bersuara sudah disekat.Maka mari kita sama-sama mengulangkaji sedikit sebanyak perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan pada 9 Julai 2011 yang lalu.
Secara asasnya perhimpunan ini adalah bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong berkenaan 8 tuntutan berkaitan pilihanraya.Antaranya ialah penggunaan dakwat kekal,reformasi undi pos,hentikan politik kotor,tempoh minima berkempen ialah 21 hari dan sebagainya.Semuanya berlegar dalam persoalan ke arah melahirkan pilihanraya yang lebih adil dan telus.Ketepikan dahulu soal kita di parti yang mana,kerana persoalan itu masih bersifat sensitif dalam kalangan rakyat negara bertuah ini.Pelaksanaan AUKU (akta yang mengongkong keterlibatan mahasiswa dalam bidang politik) beberapa tahun lepas sudah cukup menggambarkan suara dan tindakan rakyat sering disekat di sana dan di sini.Isu BERSIH ini semakin menambahkan keraguan saya terhadap keterbukaan dan keikhlasan pimpinan Malaysia yang dihormati dalam mendengar keluhan rakyat jelata.
InshaAllah,saya adalah daripada mereka yang cintakan keamanan dan keadilan.Islam itu aman dan adil,aman dan adil itu adalah sifat yang menggambarkan Islam.Sesiapa sahaja yang berbuat zalim, maka tiada kompromi untuk kita menyatakan hak itu adalah hak,dan batil itu adalah batil.Tidak kira siapa pun mereka, sekalipun daripada ahli keluarga mahupun guru-guru tercinta, sesungguhnya kebenaran itu lebih kami sayangi. Sejak insiden ini menyelubungi atmosfera di Mesir,kami sering diperdengarkan mafhum hadith bahawa jihad yang terbesar adalah apabila kita dapat mengatakan ‘kamu ini zalim’ di hadapan pemerintah yan berkuasa,yang sudah secara terang-terang melakukan kezaliman.Ya,bukan mudah untuk menyatakan kalimah yang barangkali akan menggugat kedudukan kita sebagai orang penting dalam masyarakat, yang mungkin akan menyebabkan kita kehilangan mata pencarian,menyebabkan kita hilang orang tersayang,sehinggakan nyawa sendiri pun mungkin melayang. Namun ,melalui hadith ini saya belajar,bahawa Islam begitu jelas meletakkan sempadan antara perkara yang benar daripada perkara yang salah.Terpulang kepada kita untuk mempunyai jati diri yang tinggi dan tidak sesekali tunduk kepada kebenaran,mahupun menjadi mereka yang hanya akur dan gemar mengambil ‘jalan selamat’ demi menyelamatkan diri masing-masing.
Bercakap tentang keberanian,saya teringat kisah Sayyid Qutb salah seorang pejuang yang berasal dari Mesir. Beliau adalah antara tokoh gerakan Islam yang menjadi mangsa kekejaman luar biasa rejim Jamal Abdul Nasser puluhan tahun dahulu.Beliau dengan tegas tidak mahu menjatuhkan maruahnya dengan memohon maaf daripada Presiden Jamal Abdul Naser ketika itu kerana dengan itu seolah-olah membuktikan dia berada di pihak yang salah. Akhirnya beliau dihukum bunuh kerana enggan tunduk dengan telunjuk para pemimpi yang zalim.
Perwira-perwira dan jaguh-jaguh agama yang menjadi kebanggaan kita seperti kunci kepada gedung ilmu(Saydina Ali karramAllah wajhah) pembebas kota Constantinople (Sultan Muhammad Al Fateh) dan Andalusia (Tariq bin Ziyad), adalah mereka yang telah melakar sejarah di zaman muda mereka. Maka sedarlah wahai mahasiswa inilah tempoh yang paling ideal untuk kita mempersiapkan kelengkapan yang mantap dari sudut ilmu,tidak kurang juga berlatih untuk mencurah segala keringat yang ada demi memastikan kalimah Allah itu berada di kedudukan yang tertinggi.Kita mulia dengan Islam.Maka barangsiapa yang meninggalkannya dengan sendirinya dia terhina…
Salam Ramadhan Kariim.. 4 Ramadhan 1432H
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment