RSS

Sunday, August 7, 2011

Jiwa Muda di Bulan Ramadhan 2

Assalamualaikum

Baru beberapa hari yang lepas saya mencoretkan jiwa mahasiswa yang bersemangat kental dan waja.Sejak akhir-akhir ini banyak pula kisah para pemuda dan pemudi yang saya pelajari dapat menjadi contoh bagi mendidik diri supaya masa muda digunakan sebaiknya. Kehidupan di usia begini tidak memberi jaminan umur yang panjang.Maka sewajarnya dimanfaatkan sama sahaja dengan yang lain kerana pada bila-bila masa sahaja kita mungkin dijemput oleh Allah Taala Yang Maha Kekal.

1. Saydina Zaid Ibn Tsabit mempunyai kelebihan yang tidak ada pada remaja seusia dengannya ketika zaman Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam. Ketika usianya 13 tahun, Saydina Zaid memohon daripada Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam untuk menyertai peperangan.Permintaannya ditolak disebabkan dirinya yang dirasakan masih kecil dan tidak mampu untuk ke medan jihad. Beliau pulang,menangis lalu mengadu kepada ibunya yang merupakan murabbiyyah (pendidik) unggul kepada si anak. Lalu si ibu memberikan cadangan kepada Saydina Zaid untuk berjuang dengan mata pena setelah tidak berpeluang menyertai pertarungan mata pedang dengan pihak musuh.Lalu kedua beranak tadi berjumpa dengan Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam lalu Baginda Sallalahu 'alaihi wasallam memberi tanggungjawab kepadanya mempelajari Bahasa Ibrani untuk tujuan hubungan diplomasi.Pada usia beliau 21 tahun,satu lagi tanggungjawab berat yang membuktikan kehebatannya ialah apabila diamanahkan untuk mengumpulkan ayat-ayat AlQuran demi penjagaan kitab suci tersebut di masa hadapan.

2. Al Arqam bin Abi Al Arqam rupa-rupanya berusia 16 tahun ketika menawarkan rumahnya sebagai pusat kegiatan dakwah di awal perkembagan ajaran Islam! Jika dibandingkan dengan realiti sekarang,kebiasaanya remaja sebaya itu masih di tingkatan 4 di bangku sekolah menengah dan masih kurang mengenali dunia luar. Al Arqam sudah berani mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan dakwah Islamiyyah yang kekal sampai ke hari ini dan selamanya inshaAllah.

3. Buku berjudul Isabella yang saya pinjam daripada salah seorang sahabat sekali pandang menggambarkan novel jiwang yang pasti diselitkan unsur cinta para pemuda.Namun karya ini nyata berbeza sama sekali. Ia mengisahkan perdebatan dan perbandingan antara ajaran Islam yang suci dengan agama Kristian yang sudah banyak diselewengkan daripada ajaran samawi yang asal. Menurut penterjemah, buku ini adalah berdasarkan kisah benar yang terjadi di Cordova, Sepanyol iaitu sebuah kota yang pernah menjadi bukti kegemilangan Islam sebagai simbol keagamaan dan ketamadunan manusia di seluruh dunia.Isabella merupakan puteri cerdas kepada ketua paderi yang begitu terkenal di kota Cordova.Beliau begitu meminati ilmu teologi dan gemar berbahas tentang perkara tersebut.Maha suci Allah yang telah membukakan pintu hidayah dan mencelikkan mata gadis ini untuk menerima cahaya kebenaran.Walaupun diseksa dengan kejam oleh golongan gereja yang begitu berpegang pada kepercayaan tahyul, keimanan Isabella semakin teguh malahan berjaya menyelamatkan beberapa sahabatnya untuk turut serta beriman kepada kalimah tauhid. Setelah beberapa tempoh keislamannya,Isabella menjadi duta kepada agama Islam,petah berbicara demi menutup mulut golongan Kristian yang lancang menuduh kebatilan agama Islam yang suci. Dalam masa yang sama pemudi ini juga aktif dalam menyampaikan ajaran Islam mendidik mereka yang sudah menganut ajaran Islam.Ya, beliau seorang pemudi berdarah muda namun berjiwa besar!

4.Saya begitu kagum dan seolah-olah terpukau dengan kehebatan pidato AlFadhil Ustaz Nasruddin Hassan AtTantawi yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia.Selama ini kami hanya berpeluang mengikuti perkembangan politik melaluinya dengan membaca blog beliau iaitu http://www.eperjuangan.com/. Tulisan beliau bagi saya selalunya ringkas namun padat,matang dan straight forward dengan isu yang diketengahkan. Kunjungannya bersama dengan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang Hak Asasi Manusia (JUHAM) kerana isu pencabulan hak mahasiswa secara tidak langsung memberikan peluang kepada kami untuk mengikuti kupasan isu semasa tanah air daripada sumber primer.Isinya yang sarat dengan kondisi realiti menggambarkan betapa dirinya benar-benar terjun di tengah-tengah masyarakat yang kian jauh daripada ajaran Islam sebenar.Ustaz Nasruddin merupakan graduan Al Azhar yang mencabar dirinya untuk menerima taklifan sebagai Ketua DPP demi membuktikan bahawa golongan ulama' mampu memimpin masyarakat dengan cara yang terbaik.Beliau juga menjadi contoh pemuda yang memilih jalan berliku dalam usia mudanya


Belia benci dadah vs belia benci DEDAH

Moga kita sama-sama dapat memanfaatkan masa muda dengan perkara yang akan membahagiakan kehidupan yang abadi.Ingatlah bahawa dunia ini bukan tempat untuk berehat.Ambillah dunia untuk menjadi ladang dan hasil tuaiannya adalah untuk akhirat.Buangkan keindahan dunia daripada bersarang dalam hati kerana selayaknya ia menjadi penjara yang menguji kehidupan seorang mukmin.

Pemuda yang hatinya terikat pada masjid menjadi antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah Taala ketika mana tiada naungan selain naunganNya.Apatah lagi pemuda yang menyerahkan seluruh jiwa dan kehidupannya untuk perjuangan Islam.Allahu Akbar.

8 Ramadhan 1432H

Wassalam.

0 comments: