AlhamduLILLAH.Semalam kami baru sahaja selesai melalui tempoh peperiksaan yang tidak sekejap juga, walaupun tahun ini hanya 2 subjek dalam silibus. Bangun pagi pada hari ini,saya terfikir apalah yang perlu diisi dalam tempoh cuti ini.Tambahan pula saya bercadang untuk menghabiskan cuti musim panas di Mesir tempat saya 'mendewasa' ini.Kalau tidak disusun jadual dengan baik,mahu juga saya beli tiket dan pulang ke tanah air lantaran kebosanan dengan cuti yang begitu panjang di sini.Hampir 2 bulan setengah!
Namun mungkin ini adalah cuti musim panas terakhir kami di Mesir yang boleh diisi dengan perkara-perkara elektif selain subjek perubatan.InshaAllah tahun depan waktu-waktu begini kami berada di tahun akhir kuliyyah perubatan..Keutamaan sudah pasti tertumpah kepada kecemerlangan dalam bidang tersebut.
Setiap kali melalui tempoh peperiksaan,macam-macam perkara 'kehidupan' yang dapat saya pelajari,dan ketika itu jugalah membuak-buak rasanya ingin dicoretkan rasa hati itu dalam ruang maya sebegini. Tetapi keadaan kurang mengizinkan kerana ada perkara yang lebih utama untuk diberikan tumpuan.
Peperiksaan menjadikan kita seorang yang dengan sendirinya berusaha menjadikan diri 'lebih pandai' daripada sebelumnya. Tekanan peperiksaan membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk memahami setiap topik supaya peperiksaan berahkir dengan senang hati nanti.Namun ini adalah norma bagi mereka yang sensitif dengan tekanan itu sendiri. Pernah juga daripada pengalaman sendiri, peperiksaan tidak mendatangkan apa-apa perasaan..perasaan takut atau apa-apa yang seerti dengannya. Sebenarnya perasaan takut itulah yang menjadikan kita lebih kuat berusaha...
Tahukah anda, bayi dalam kandungan ibu yang bertekanan darah tinggi kebiasaannya mempunyai kadar perkembangan paru-paru(lung maturation) yang lebih baik berbanding ibu yang bertekanan darah normal!Hal ini kerana bayi tersebut berada dalam kondisi yang memaksanya untuk 'bekerja lebih keras' demi survival diri sendiri dalam kandungan tersebut..Oh,itulah sunnatullah yang dibuktikan sejak kita dalam kandungan lagi.Allah itu Maha Adil,setiap kesusahan yang dihadapi digantikan dengan kesenangan di akhirnya..
Bersusah-susah dahulu ,bersenang-senang kemudian.
Peribahasa ini nampak ringkas,mungkin kerana sudah lama meniti di bibir-bibir kita. Peribahasa ini memberi kesan kepada saya apabila ia menjadi pesanan utama salah seorang senior kami yang baru menamatkan ijazah perubatan di Universiti Kaherah. Beliau bukan seorang yang maintain keputusannya cemerlang (mumtaz) sejak berada dalam tahun pertama kuliyyah perubatan.Malah beliau pernah diuji dengan dur thani (repeat paper) yang menjadi mimpi yang kurang indah dalam sisem peperiksaan di Mesir ini. (moga kami semua dimudahkan dalam mencapai kejayaan). AlhamduLILLAH peningkatan usahanya menampakkan hasil dari setahun ke setahun..dan akhirnya beliau menjadi pelajar Malaysia paling cemerlang di tahun akhir!Kalau tidak silap saya untuk subjek Internal Medicine beliau disenaraikan dalam ranking ke 30 daripada keseluruhan pelajar universiti termasuk pelajar Mesir dan negara-negara lain! Pencapaian yang agak luar biasa,sehinggakan pensyarahnya sendiri mencadangkan kepadanya untuk mengambil salah satu peperiksaan antarabangsa untuk mereka yang terlalu cemerlang :).
Katanya, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.Jawapan standard apabila kami bertanyakan tentang rahsia kejayaannyan kepada adik-adik rumahnya,kata mereka beliau memulakan usahanya sejak awal tahun lagi. Ketika orang lain mungkin sedang sibuk dengan perkara-perkara lain,beliau sudah mula menghadapi tekanan daripada awal tahun lagi dan menikmati keseronokannya di akhir tahun pengajian.Keputusan di tahun akhir pengajian adalah sangat penting bagi graduan-graduan warganegara Mesir kerana itulah yang akan menentukan tempat mereka bekerja,sama ada di bandar mahupun di ceruk-ceruk tertentu.
Teknik yang digunakan untuk menguji tahap perkembangan paru-paru |
Kuantiti mampu memperbaiki kuailiti
Selalu kata orang kuantiti tidak menjami kuliati.Ada satu persepsi baru pula di sini. Kuantiti mampu meningkatkan mutu pencapaian seseorang.Kita berbicara soal usaha.Semakin banyak usaha kita,inshaAllah semakin baik pula kualiti pemahaman kita.Namun ia mestilah dengan teknik yang betul.Kuantiti dan kualiti mesti jalan seiring.Kalau terlalu banyak masa ditumpukan dalam bab-bab tertentu,akhirnya kita tidak akan cukup masa untuk bahagian yang lain. Walaupun mungkin kualiti pemahaman kita sangat tinggi pada bab yang pertama, secara keseluruhan kualiti masih di tahap yang rendah.Sama juga jika kita terlalu cepat pulun setiap bab sehingga mengabaikan pemahaman, akhirnya kita seperti tidak mendapat apa-apa...
Ada satu lagi 'quotation' yang berjaya memberi kesan kepada diri saya. Saya dapatinya melalui salah seorang ahli PERUBATAN yang memberikan forum kecemerlangan satu ketika dahulu. Sebenarnya quotation itu adalah firman Allah Taala dalam Surah AlMulk ayat kedua.
"yang menciptakan mati dan hidup,untuk menguji kamu,siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun."
Setiap kita mesti berusaha untuk menjadi yang terbaik.Cita-cita perlu besar, dalam bahasa Inggerisnya, aim for the star,if you fall you will fall on the moon :P.Biar apa jua yang diceburi,usaha yang terbaik perlu dipersembahkan sebagai tanda kesungguhan dan komitmen kita dalam setiap perkara. Ada beza antara USAHA dan HASIL...
Rupa-rupanya kehidupan saya banyak terkesan dengan kata-kata orang.Ya kerana kita mengambil pengajaran daripada mereka yang berpengalaman.Belajarlah dengan sesiapa pun untuk ilmu yang bermanfaat meskipun daripada musuh,kerana kebenaran itu boleh datang daripada lidah sesiapa sahaja.
Quotation ketiga yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah yang akan ditanya nanti adalah kamu buat atau tidak,bukan apa natijahya.Ia dipesan oleh senior saya di Sekolah Raja (P) Taayah. Sungguh rindukan suasana solehah di sana!Beliau memperkatakan tentang kerja-kerja dakwah. Jika kita menyeru kepada orang lain,jangan terlalu memikirkan hasilnya kerana hidayah itu milik Allah da Dia lah yang berkuasa menentukan penerimanya.Our work is to to the best, He will do the rest.Kerja kita usaha dan usaha bukan memnetukan apakah hasilnya.Namun tidak dinafikan target tertentu perlu ada supaya matlamat lebih jelas dan lebih memudahkan untuk kita berusaha ke arahnya.
If you can manage youself,that means you can manage the world
Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya akan tertegak Islam di bumi ini.Ya,segalanya bermula dengan diri sendiri.Peperiksaan mendidik kita untuk belajar mengurus diri.Tempoh peperiksaan menguji kita adakah kita adalah kita atau menanggalkan topeng sebagai manusia untuk seketika.Pelik juga bunyinya.Dahulu ketika awal-awal tahun pengajian di sini kami diingatkan apabila tempoh peperiksaan kebanyakan orang berpotensi untuk 'menjadi diri mereka yang sebenar'..Mungkin kerana tekanan yang dihadapi,ada waktunya kita lupa beberapa hak yang perlu ditunaikan.Hak kepada Allah,kepada ibubapa,sahabat,teman serumah, tidak dilupakan kepada diri sendiri. Bagi saya berusaha sebaik mungkin bukanlah bererti sehingga menyeksa diri sendiri.Bolehlah juga namun MESTI ada kadarnya.
Janganlah kerana sibuk sangat dengan peperiksaan sehingga kesihatan terabai,tidak mahu masak serta sanggup memakan makanan yang kurang sihat.Khusyuk sangat mengulangkaji sehingga mengabaikan kebersihan diri dan keadaan sekeliling.
Jika begitu keadaannya,peperiksaan tidak berjaya menjadi 'modul' untuk mendidik atau mentarbiyyah diri kita menjadi insan yang lebih baik.Persediaan peperiksaan bukan sepatutnya bermula dengan bermulanya study leave. Ia merangkumi usaha kita hari-hari melangkah kaki menimba ilmu,bagaimana kita memenuhi masa sebaiknya untuk menambah ilmu pengetahuan melalui laman sesawang,melalui perbincangan dengan rakan-rakan atau menggunakan apa-apa sahaja medium.Itulah proses pembelajaran yang sebenar.Salah seorang sahabat saya rajin bertanya “dah habis baca buku ke?” dan beliau sudah sedia maklum jawapan yang bakal diterima “mestilah belum sebab belajar kan sampai mati!”
Hamba kepada peperiksaan atau hamba kepada Allah?
Sewajarnya peperiksaan menyedarkan kita betapa kita lemah dan kebergantungan kepadaNya adalah sesuatu yang tiada kompromi untuk direalisasikan.Fitrah seorang manusia apabila berada dalam kesusahan,sampai satu tahap dia akan yakin bahawa tiada siapa yang dapat menolongnya selain daripada kuasa ajaib yang tiada tangan lain mampu menghalangnya. Dalam salah satu novel tokoh terbilang Islam karangan Abdul Latip Talib,diceritakan Ikramah bin Abu Jahal sebelum memeluk Islam adalah seorang yang sangat tegar penentangannya terhadap RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM yang kita cintai.Ikramah disenaraikan sebagai orang yang layak dibunuh ketika majoriti penduduk Makkah mendapat kemaafan daripada RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM dalam peristiwa pembukaan kota Makkah. Pada satu hari dalam perjalanan Ikramah dari Yaman ke Habsyah (kerana lari dari kota Makkah),kapal yang ditumpangi Ikramah dilanda taufan.Ketika itu Ikramah yang masih belum menerima hidayah berdoa untuk keselamatan atas nama al-Lata dan al Uzza (berhala).Kapten kapal meminta Ikramah untuk berdoa atas nama Allah Tuhan Yang Maha Esa.Lalu Ikramah menurutnya sambil berjanji akan memohon maaf daripada RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM sekiranya diselamatkan daripada malapetaka tersebut.Allah menyayangi dirinya,dan peristiwa itu antara penyebab Ikramah mendapat petunjuk Ilahi yang menyelamatkan dirinya daripada azab Allah yang maha pedih.
Setelah kita berusaha sebaik mungkin dalam membuat persediaan berperang di dewan peperiksaan, secara fitrahnya akan terbit satu perasaan di mana kita tidak tahu apakah mampu atau tidak untuk kita menghadapai ujian sebentar lagi.Baik apa jua bentuk peperiksaannya.. Ketika itulah sedarlah kita tiada kuasa lain yang dapat membantu kita selain kekuasaan ajaib yang saya sebutkan sebentar tadi.Peperiksaan dari satu sudut berkait dengan rezeki masing-masing.. Contohnya sebelum masuk ke dewan kita diilhamkan untuk menyelak halaman tertentu,dan itulah yang keluar akhirnya! Ketika di tahun pre-klinikal,ada satu pengalaman yang kekal dalam ingatan sehingga kini.Terdapat satu bab yang memang saya tidak pernah rasanya mengulangkajinya…elok pula dalam perjalanan ke peperiksaan lisan, saya dan beberapa orang sahabat berbincang mengenainya. Mereka berdualah yang bercerita kepada saya,dan itulah bab yang pensyarah saya tanyakan kemudiannya! Apa yang saya jawab semuanya adalah berdasarkan ingatan saya dalam perjalanan tadi. Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang saya pelajari melalui peristiwa ini : pertama berusahalah sehingga ke akhirnya kerana boleh jadi yang akhir-akhir itu adalah ilham daripada Allah.Kedua, yakinlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki.
Maka hamba kepada siapakah kita?
Peperiksaan sebagai modul tarbiyyah.
Saya ingin menyatakan rasa bersyukur kepada Allah, dan rasa berterima kasih kepada manusia yang telah mendoakan kemudahan jalan kami khususnya dalam peperiksaan kali ini. Saya yakin adanya doa-doa yang diberkati biar sesiapapun tangan yang menadahnya.Sememangnya setiap orang mengharapkan natijah yang terbaik dalam setiap usaha, serta jangan lupa berdoa moga setiap apa yang kita lalui dalam proses memperoleh kecemerlangan ini menjadikan kita hamba yang semakin dekat dengan Tuhan Pencipta kita. Moga kita menjadi orang yang paling kuat berusaha dan berdoa, serta paling redha dengan setiap ketentuannya.Kerana kita ini tidak lain hanyalah sebagai hamba…Hinanya kita di sisi Tuhan Yang Maha Mulia.Ya Allah,jangan Engkau uji kami dengan sesuatu yang tidak mampu kami pikul~
Beit Rahmah, Sayeda Zeinab
Post exam 7 Julai 2011
0 comments:
Post a Comment