Assalamualaikum.
Cuti umum Mesir beberapa minggu yang lalu memberi kami kesempatan untuk meninggalkan seketika rutin harian dan menghirup udara di sekitar kawasan yang tidak biasa kami lawati walaupun sudah hampir menamatkan tahun ke 5 pengajian di bumi anbiya' ini.Kata orang better late than never :P
Rupa-rupanya di sini kami sangat dekat dengan tokoh-tokh ilmuan dan para sulafussoleh yang menjadi wali Allah.Mungkin kami menghirup udara yang dahulu pernah dihembus oleh Imam As Syafie,mungkin kami memijak pasir-pasir dan tanah-tanah yang dahulu berada di bawah tapak kaki Saydina Amru Al As.
Saydatina Nafisah merupakan cicit keturunan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.Beliau datang daripada Madinah dan berhijrah ke Mesir.Sungguh banyak rakyat Mesir yang ingin mengambil keberkatan keberadaan ahlul bait ini di tanah air mereka.Peluang keemasan yang tidak ingin dilepaskan itu menjadikan masa Saydatina Nafisah begitu padat dengan kunjungan para tetamu yang sering menziarahi beliau sehingga menyebabkan beliau berfikir untuk kembali ke Madinah supaya lebih banyak boleh menghabiskan masa beribadat dengan Tuhannya.Namun setelah dipujuk oleh pemerintah Mesir ketika itu,Saydatina Nafisah telah meletakkan syarat supaya 4 hari dalam seminggu adalah diperuntukkan bagi urusan peribadinya,manakala 3 hari yang berbaki disediakan ruang bagi melayani para tetamu yang datang membawa hajat.
Ada beberapa kisah 'pelik' yang diceritakan oleh Ustaz Zahari kepada kami berkat keimanan yang tinggi dalam diri Saydatina Nafisah...cerita-cerita pelik yang lazimnya berlaku pada para wali Allah Taala.Pesanan beliau yang ditinggalkan kepada generasi terkemudian ialah 'sekiranya kita beribadah dengan sebenar-benar ibadah serta ikhlas,maka seluruh makhluk akan berkhidmat kepada kita'.
Uniknya masjid yang menempatkan maqam hamba Allah yang mulia ini ialah,boleh dikatakan SETIAP kali waktu solat fardhu pasti akan ada jenazah yang disolatkan di sini.Barangkali mereka ingin mengambil keberkatan yang ada.Saya kembali teringat,lebih kurang 3 tahun yang lalu ketika kali pertama saya berkunjung ke sini memang terdapat sekurang-kurangnya 5 jenazah yang disolatkan.Saat itu kami menyangka mungkin jenazah-jenazah yang ramai itu disebabkan ada berlaku kemalangan..
Dalam perjalanan kami ke destinasi seterusnya,Ustaz Zahari sempat bercerita kepada kami tentang budaya Mesir yang tidak kami ketahui walaupun sudah hampir 5 tahun berada di sini! Rata-rata mereka ini sangat mementingkan 3 perkara untuk dicapai dalam kehidupan ini iaitu tempat tinggal,tempat disemadikan (perkuburan) dan mengahwinkan anak.Sesunguhnya merupakan satu kejayaan dan kepuasan dalam hidup apabila seseorang itu bersedia ke arah ketiga-tiga perkara tersebut.
Kemudian kami sampai ke masjid dalam gambar di atas.Masjid yang saya kira begitu dekat di hati,mungkin bagi sahabat-sahabat yang lain juga.Barangkali kerana sejarahnya yang agung yang menjadi simbolik kepada kehebatan agama Allah yang Maha Agung.Masjid ini mencatat sejarah apabila menjadi masjid pertama di benua Afrika setelah Islam berjaya menakluk Mesir.Ia dinamakan Masjid Amru Al As bersempena dengan nama sahabat yang bertanggungjawab meletakkan asas empayar Islam satu ketika dahulu di bumi yang kami hirup udaranya saat ini.Kisahnya begitu memberi motivasi.Jika tadi kita menyaksikan kehebatan Saydatina Nafisah sebagai abidah(ahli ibadah) Allah yang solehah,kini kita berbicara tentang kisah pemerintah Islam yang gagah,hidupnya untuk memenuhi dunia dengan keadilan.Sungguh kerusi untuk pimpinan itu satu yang mesti untuk kita dapatkannya demi memastikan kalimah Allah berjaya ditegakkan.
Sebelum berjaya menakluki Mesir,selaku khalifah Saydina Umar RadiAllah anhu telah berpesan kepada Saydina Amru,hendaklah dia membawa pulang tenteta Islam sekiranya dalam tempoh tertentu mereka masih belum berjaya menakluki Mesir.Saydina Umar telah menghantar '4000' tentera tambahan sebagai bantuan ketenteraan.Hakikatnya hanya 4 orang panglima yang handal telah dihantar khalifah,yang mana kekuatan mereka itu disamakan dengan 1000 orang.Mereka ialah Zubair Al Awwam,Ubaidah Ibnu Samit,Maslamah Mukhallid,dan Miqdad Ibnu Amru.
Dengan keizinan Allah akhirnya Mesir jatuh ke tangan tentera Islam.Dan sehingga kini majoriti rakyat Mesir adalah beragama Islam.AlhamduLILAH.
Ini pula kami di maqam Al-Imam As-Syafie.Salah seorang ulama' muktabar daripada 4 mazhab yang diikuti oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.Beliau dilahirkan di Gaza (150H),barangkali bumi itu memang sudah tertulis untuk melahirkan pejuang-pejuang Islam daripada dahulu sehinggalah saat ini.Keluarganya berasal daripada kota Makkah,berpindah ke Gaza disebabkan kesempitan hidup.Al Imam As-Syafi'e memang terkenal dengan tokoh ilmuan yang cerdas akalnya.Diceritakan bahawa beliau berjaya menghafal AlQuran di usia 7 tahun,menghafal kitab Al-Muwatta' karangan Al Imam Malik dalam masa 9 hari ketika usianya 10 tahun,menjadi mufti ketika berusia 15 tahun,dan menjadi qadhi di Yaman ketika berusia 17 tahun! Saat Imam As-Syafie sudah mencipta pelbagai kisah hebat dalam kehidupannya di usia yang dinyatakan ,kebanyakan daripada kita baru sahaja mengenali dunia luar selepas menaggalkan uniform sekolah menengah.Hebatnya pemilik maqam di atas ini!
Sebelum sampai ke maqam Imam As-Syafi'e,kami sempat memerhati dari dalam bas maqam guru atau disebutkan sebagai muqri' kepada beliau,iaitulah Imam Waqi'.Apabila menyebut nama guru Imam As-Syafie yang ini, ada satu kisah yang begitu signifikan dan sangat sesuai dijadikan pengajaran khsusunya kepada para penuntut ilmu.Imam As-Syafi'e sangat terkenal dengan kehebatan dalam hafalan sehingga dikatakan beliau terpaksa menutup muka surat sebelah ketika sedang membaca muka surat yang satu lagi,kerana apabila melihat sahaja akan terus dihafalnya.Maka beliau perlu menagguhkan dahulu daripada melihat muka surat yang satu lagi supaya dapat memberikan tumpuan demi pemahaman isi kandungan muka surat yang sedang dibaca pada asalnya.Namun satu hari beliau mengadu kepada gurunya iaitu Imam Waqi' ini bahawa hafalannya semakin lemah.Maka pesan gurunya itu ilmu itu adalah cahaya,dan cahaya tidak akan tembus kepada hati yang membuat maksiat.Begitulah mafhumnya.Apalah sahaja maksiat yang dilakukan oleh 'alim ini berbanding kita yang lebih kerdil ini??
Kisah keagungan cinta hamba kepada pencipta sering dikaitkan dengan kisah Rabi'atul Adawiyyah.Seorang wanita yang menerima banyak lamaran lelaki,namun semua ditolaknya demi cinta sucinya kepada Allah Taala.Kisah beliau diabadikan dalam salah sebuah lagu kumpulan Inteam yang selalu berkumandang di corong radio ketika saya masih di bangku sekolah menengah di Ipoh.Cinta wali Allah ini menjadi inspirasi kepada muslimah yang mendambakan kebahagiaan yang hakiki.Namun wasiat Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam supaya mengikuti sunnah dengan bernikah lebih kuat di hati dan lebih dekat dengan fitrah kejadian seorang manusia.
Dalam masjid di atas pula terdapat maqam salah seorang sahabat Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam yang bernama Uqbah RadiyAllah anhu.Beliau adalah salah seorang antara puluhan sahabat yang berhijrah ke Mesir dan dikebumikan di ardhul kinanah ini.Diceritakan bahawah beliau sanggup mencari Abu Ayyub Al Ansari yang jauh daripada tempatnya demi memastikan kesahihan riwayat salah sebuah hadith Rasulullah Sallahua'laihiwasallam.Begitu teliti para sahabat dahulu dan begitu amanah mereka dengan ilmu..
Di atas ini pula adalah pintu masuk ke masjid yang ditempatkan maqam Imam Tajuddin Ahmad Atha'illah Al Iskandari rahimAllah anhu.Beliau merupakan pengarang kitab Alhikam Ataiyyah yang diajar oleh Sheikh Yusri di masjid yang dibina di bawah bangunan kediamannya.
Cuba perhatikan tulisan arab di atas.Ketika kali pertama kami menyertai jaulah (rombongan) ziarah maqam para auliya' di sekitar Kaherah ini,kami hanya berada dalam kenderaan dan ditunjukkan dari jauh kawasan persemadian jasad yang namanya sudah tidak asing lagi dalam perjuangan gerakan Islam. Takut benar pihak keselamatan Mesir dengan pengaruh yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh As- Syahid Imam Hassan Al Banna selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Itu semua kisah sebelum kebangkitan 25 Januari 2011 yang lalu. Kini pasca revolusi,tiada lagi ancaman untuk orang awam berhenti di kawasan ini sehingga boleh kami rakamkan gambar seperti di atas.
Jika kita ikuti kisah perjuangan tokoh gerakan Islam di Mesir ini seperti As-Syahid Imam Hassan Al Banna,Syed Qutb,Zainab Al Ghazzali,Hassan Hudhaibi dan sebagainya kepiluan pasti terasa dengan siksaan-siksaan kejam yang tidak layak sekalipun terhadap binatang.Tiada siapa dibenarkan mengiringi jenazah si syahid ini melainkan beberapa ahli keluarganya ketika pemergiannya yang ditangisi umat Islam seantero dunia.
Kebanyakan kisah di atas telah diceritakan oleh alFadhil Ustaz Zahari dari Sunshine Travel.JazakAllah kepada Ustaz yang tidak jemu-jemu bercerita dari awal sehinggalah ke akhirnya.Mohon maaf kepada pembaca jika ada kesalahan maklumat dan mohon diperbetulkan.Allahua'lam
0 comments:
Post a Comment