RSS

Wednesday, January 18, 2012

Erti Kemanusiaan Kupelajari

Assalamualaikum

Seperti biasa kali ini kami mengambil maklumat daripada pesakit.Aku masuk agak lambat sedikit berbanding dua sahabatku yang lain.Kelihatan mereka sedang bercakap-cakap dengan salah seorang daripada keluarga pesakit (mungkin) atau dikenali di sini dengan istilah marafiq. Walaupun secara umumnya maklumat sepatutnya diambil secara langsung daripada pesakit,kadang-kadang bersembang dengan marafiq lebih memudahkan kerana kerjasama yang diberikan lebih memungkinkan untuk kami mendapat lebih maklumat tentang kes tersebut.

Mereka rancak berbual.Marafiq itu sebaya kami rupa-rupanya.Secara fizikalnya pastilah jauh berbeza antara Asia dan benua Afrika.Mungkin tingginya sahaja mencecah dua kali saya :) Pesakit di hadapan kami diam sahaja dan membiarkan hanya marafiq di sisinya menjawab setiap soalan yang kami ajukan.Kadang kala sahaja dia memberikan respon apabila kami memandang ke arahnya.Tiba-tiba datang seorang perempuan yang dipercayai salah seorang daripada anggota keluarganya juga.


"Kamu buat apa di sini?Saya nak tahu kamu buat apa di sini?Saya kena bertanya"lebih kurang begitu maksudnya. Marafiq itu sendiri tanpa dipinta cuba menjelaskan tujuan keberadaan kami di sisi katil tersebut.Aku yang berada paling hampir dengannya pula cuba menjelaskan perkara yang sama apabila jawapan marafiq tersebut tidak diendahkan oleh wanita tersebut.Kunyatakan kepadanya bahawa kami ingin bertanya beberapa soalan,apa yang terjadi kepada diri pesakit tersebut (sebelum dimasukan ke hospital) dan sebagainya "Oh,dia baik-baik sahaja..Terima kasih!!" balas wanita tersebut sambil menunjukkan laluan untuk kami pergi dari tempat tersebut.Aku tergamam dan bertindak refleks mengambil barangku dan berlalu dari situ,diikuti juga dengan dua orang sahabatku.Kami sama-sama terduduk sebentardi kerusi bahagian luar dan berfikir-berfikir apa yang baru berlaku.

Sebelum ini pernah juga beberapa pesakit yang tidak memberikan kerjasama dan menolak untuk memberikan sebarang maklumat.Kali ini begitu sinis pula rasanya.Jika difikirkan kembali kami juga boleh membalas kata-kata wanita tersebut kerana para pesakit yang berada di hospital universiti sepatutnya sudah maklum dan perlu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada para doktor dan para pelajar untuk tujuan pembelajaran.

Sedang kami beralih kepada topik lain di kerusi tersebut,marafiq yang sudi melayan kami sebentar tadi juga keluar dan beberapa kali memohon maaf atas kejadian yang menimpa sebentar tadi.Katanya tidak semua orang faham cara pembelajaran kami yang perlu kerapkali berlatih mengambil maklumat kes daripada pesakit.Dia juga menawarkan diri untuk terus bercerita kepada kami berkesinambungan daripada cerita di dalam wad sebentar tadi.Rasa janggal juga untuk meneruskan perbincangan kes kerana tiada pesakit di hadapan mata walaupun sebentar tadi memang marafiq itu juga yang banyak memberikan respon mewakili pesakit tersebut.Kami sempat bertanya kepada marfiq tersebut siapakah wanita tadi.. kakak awakkah? Katanya bukan,kalau kakaknya pasti telah dipukul olehnya kerana melayan kami dengan kurang baik sebentar tadi.Orang Arab memang bermulut manis :)

Tiba-tiba wanita yang mempersilakan kami untuk keluar tadi menuju ke arah kami.Sekali lagi dia berdiri besebelahan denganku.Tanpa disangka,dia memohon maaf daripada kami di atas perbuatannya sebentar tadi.Daripada apa yang kufahami,wanita tersebut terpaksa berbuat demikian kerana doktor sudah berpesan supaya elakkan mengganggu emosi pesakit tersebut.Jika kami terus bertanyakan tentang penyakitnya,mungkin dia akan bertambah tertekan lagi (penyakitnya berkait dengan bahagian otak)Fahamlah kami apa yang cuba dilakukan wanita tersebut.Dia bertanya kalau-kalau kami berasa marah dengannya.Dengan lebih tidak disangka,wanita yang kukira dalam lingkugan 30-40an ini mengucup kepalaku.Mungkin sebagai wakil sahabat-sahabtku sebab aku yang berada berhampiran dengannya!Di sini sekali lagi aku tergamam.Aku tidak pernah kenal siapakah wanita tersebut,begitu juga dengan dirinya terhadap diriku.Inilah budaya orang Arab Mesir yang semakin sayang untuk kutinggalkan...

Kejadian ini menimbulkan sekelumit rasa 'kemanusian'ku setelah beberapa tempoh aku hidup dalam kalangan masyarakat Mesir.Berhadapan dengan para pesakit setiap hari bermaksud berhadapan dengan pelbagai lapisan manusia di sini.Selalunya hatiku begitu kering untuk mendalami apa yang dirasai pesakit dan keluarganya.Tambahan pula aku bukan daripada bangsa mereka.Perasaan marah,sedih,risau dan sebagainya agak sukar untuk kuselami.AlhamduLILLAH semakin lama aku semakin sedar,inshaAllah aku akan berhadapan dengan 'objek' ynag bernyawa,bukan mesin yang boleh diaktifkan dengan menekan beberapa butang atau menggunakan manual yang selaras setiap masa.

Moga-moga jalan kami untuk menjadi doktor yang kompeten dipermudahkan dan diluaskan seluas-luasnya.Ameen.Keyboard off!

Wassalam

0 comments: