RSS

Sunday, January 15, 2012

Orang Muda Berjiwa Dewasa

Assalamualaikum

Bumi Mesir sentiasa subur dengan majlis ilmu.Namun tiada paksaan kepada sesiapa untuk mengikuti arusnya ataupun membiarkan ianya berlalu pergi begitu sahaja.Hari itu saya berpeluang mendengar kalam nasihat yang tidak diketahui siapakah penuturnya.Yang pasti kalam itu patut saya kutip kerana kata Rasullah Sallalahu'alaihi wasallam,hikmah itu adalah barang mikmin yang keciciran.Di mana ia dijumpai maka mestilah dikutipnya.Moga-moga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang mukmin.

Beliau mengingatkan para pendengar akan kedudukan para pemuda dan pemudi di sisi Islam.Dalam kalamnya diselitkan pelbagai kisah teladan para nabi dan ornag-orang soleh yang menghabiskan masa mudanya tidak lain hanyalah di jalan Allah.'Muda cuma skali' mereka dimanfaatkan untuk berfikir akan kebesaran Allah,hakikat mereka diciptakan di muka bumi,beribadat dan mewakafkan diri di jalanNya dan menyampaikan risalah daripada Tuhan Yang Maha Menciptakan.

Masa muda adalah peluang yang tidak akan bertandang kembali.Kata Imam Al Ghazzali perkara yang paling jauh ialah masa lampau,di mana kita tidak mungkin kembali kepadanya setelah ia berlalu.Masa muda merupakan tempoh memuncaknya semangat,kentalnya kemahuan,tenaga yang ada tidak seperti kanak-kanak kecil yang boleh dibuli atau orang tua lanjut usia.Namun waktu ini jugalah nafsu ke arah perkara yang tidak baik berkemungkinan menguasai diri.Maka tanpa tarbiyyah yang kuat untuk membentengi diri,pemuda atau pemudi pasti akan hanyut dibawa arus dunia yang melalaikan.


Setidak-tidaknya penceramah tersebut berjaya membuatkan saya terangguk-angguk tanda setuju untuk beberapa kali kerana saya kira sayalah subjek yang dimaksudkan dalam nasihatnya itu.Saya lihat sekeliling,tidak ramai orang muda yang ada di situ.Kebanyakannya adalah mereka yang sudah meninggalkan zaman muda mereka dan beralih ke fasa seterusnya.Mudah-mudahan mesej penceramah tadi disampaikan juga kepada anak-anak mereka atau sesiapa sahaja yang seangkatan dengannya.

Usia Muda, Jiwa Dewasa

Saya kira usia saya tidaklah terlalu muda untuk menjadi seperti Saydina Abdullah Ibnu Abbas pada zaman Rasulullah Sallalahu'alaihi wasallam.Beliau adalah contoh sahabat yang hebat dalam ilmu tafsir berbanding para sahabat yang lebih tua usia daripadanya.Saya juga tidak mampu menjadi seperti Saydina Zaid b Tsabit.Jiwa besar yang terserlah apabila beliau menawarkan diri untuk menyertai peperangan di medan jihad tetapi ditolak oleh Rasulullah Sallalahu'alaihi wasallam disebabkan usianya yang masih terlalu muda.Hebatnya Saydatina 'Aisyah bintu Saydina Abu Bakr AsSiddiq,menjadi wanita yang paling faqih dalam kalangan wanita Arab sezaman dan seusia dengannya berkat pentarbiyyahan secara langsung daripada sebaik-baik makhluk yang diciptakan, Rasulullah Sallalahu'alaihi wasallam.

Pesan orang,jika tidak dapat buat semua,jangan tinggalkan semua.Ayuh para pemuda dan pemudi.Kita persiapkan diri ini dengan ilmu yang mantap dalam bidang yang diceburi.Tanamkan dalam diri untuk menjadi cemerlang dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan kerana kecemerlangan itu merupakan satu sunnah yang dituntut dalam Islam.Pastikan setiap apa yang kita lakukan manfaatnya dapat dirasai oleh orang lain.Tidak rugi begitu kerana akhirnya kita juga yang akan menikmati sahamnya di akhirat kelak.Cukuplah jika hidup ini untuk kebaikan orang lain,kerana kebaikan untuk kita terjamin dalam kehidupan di negeri abadi nanti.

Wassalam

0 comments: