RSS

Friday, November 4, 2011

Untuk Penyokong Terutama Pendokong PERUBATAN

Assalamualaikum…


Sekarang ini apabila bertemu dengan pelajar Malaysia dalam perjalanan pergi atau pulang dari kuliah,mereka yang tidak kami cam mukanya pasti berstatus junior,bukan senior yang tidak dikenali.Saya merupakan salah seorang daripada lebih kurang 100 orang pelajar Malaysia pertama yang dihantar ke Universiti Kaherah secara beramai-ramai lebih 5 tahun yang lalu.AlhamduLILLAH kini kami di tahun akhir pengajian sebelum berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di Malaysia nanti.InshaAllah.Dah besar panjang rupanya kami sekalipun mungkin tidak secara fizikal :)

Di tahun-tahun akhir ini saya selalu sahaja ‘terkenang-kenang’ perkara yang telah saya lalui sepanjang pengembaraan saya di bumi Mesir.Saya selalu katakan kepada para sahabat di sekeliling saya,alhamduLILLAH saya tidak pernah menyesal dicampakkan ke bumi kinanah pernuh tarbiyyah ini. Perasaan itu tidak sama seperti awal-awal saya menerima surat tawaran untuk ke Mesir dahulu kerana pernah mengidam negara timur tengah yang lain.AlhamduLILLAH.Saya suka sebut begitu kerana saya banyak terhutang budi dengan tanah yang pernah dijejaki oleh hamba-hamba Allah yang soleh ini,juga tanah yang pernah menjadi saksi keangkuhan sang kerdil yang mengaku sebagai Tuhan.

Dalam banyak-banyak budi yang saya hutang itu,kali ini saya berminat untuk bercerita dari satu sudut.Mungkin tidak semua pembaca satu fikrah dengan saya apabila menyebut tentang persatuan.Di Mesir ini saya mengenali PERUBATAN,iaitu Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir.Keahliannya terbuka kepada semua pelajar Malaysia jurusan sains kesihatan yang berada di Mesir.AlhamduLILLAH Allah telah menuliskan taqdir untuk saya ditarbiyyah sebagai ahli serta pernah juga diberatkan dengan tanggungjawab sebagai pimpinan.Saya mohon maaf dan halal daripada seluruh warga PERUBATAN sekiranya ada amanah yang tidak tertunai sepanjang tempoh tersebut.Apa-apa perkara yang tidak selesai bolehlah dituntut di sini ya supaya tidak dituntut di akhirat nanti.Moga Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.


Perbezaan fikrah atau pandangan yang berbeza yang saya maksudkan di atas ialah terhadap konsep berpersatuan di Mesir.PERUBATAN merupakan salah satu badan NGO non komersil berteraskan penjagaan kebajikan ahli daripada SEGENAP sudut baik dari segi fizikal,rohani,fikiran,ilmu pengetahuan dan sebagainya.PERUBATAN membuka seluas-luasnya untuk ahli mendapat manfaat daripada apa yang disediakan.Ia juga menjadi medium untuk ahli menyalurkan bakat masing-masing baik dalam bidang akademik (sains kesihatan) ,kerohanian sebagai individu Muslim,kemahiran multimedia,kesukanan,seni kreatif,penjanaan ekonomi dan sebagainya.Ruang itu memang ada,cuma kadang-kadang tidak nampak mungkin kerana tiada yang memberitahu atau tiada yang ingin mengambil tahu.

Pada salah satu program PERUBATAN dalam cuti musim panas baru-baru ini saya teringat ada sahabat (junior) yang mengatakan saya sebagai ‘veteran’ dalam jawatankuasa tersebut.Maka saya teringat kepada beberapa senior kami yang sangat berjasa dalam meletakkan asas yang kuat untuk PERUBATAN berdiri kukuh seperti sekarang.Terdapat beberapa individu yang kata-katanya berbekas di jiwa sehingga kini dan itulah yang menjadi pegangan saya baik ketika menjadi ahli mahupun sebagai pimpinan PERUBATAN dahulu. Antara wasiat yang masih saya ingat mafhum dan penuturnya ialah pesanan bahawa dalam PERUBATAN kita banyak belajar.Kita belajar untuk membina diri.Sedikit demi sedikit.Segala yang berlaku dalam PERUBATAN adalah sesuatu yang boleh kita perbaiki dari semasa ke semasa.Sekiranya sesiapa berbuat kesalahan dalam gerak kerja PERUBATAN (ajk terutamanya) maafkanlah dia,dan individu tersebut janganlah rasa berputus asa kerana di situlah ruang untuk kita memperbaiki kesalahan.Perkara ini nampak senang namun hakikatnya hanya dirasai oleh mereka yang ada pengalaman tentangnya.Sebagai contoh ada ahli yang berpengalaman menjadi tenaga dalam khidmat kesihatan masyarakat kepada warga bukan perubatan di sini.Kali pertama biasa sahaja jika kita tersilap menerangkan tentang fakta kesihatan kepada mereka yang bukan dalam bidang tersebut secara langsung(yang dengan mudah kita boleh mereka-reka jawapannya kerana mereka biasanya percaya! :) )Lama kelamaan kita akan belajar menjawab soalan-soalan berkaitan kesihatan yang diajukan secara spontan oleh para pendengar secara sahih dan penuh keyakinan.Secara tidak langsung hal ini ‘memaksa’ kita untuk mahir dalam disiplin ilmu yang kita dalami.Demikianlah ruang yang kita cipta sendiri untuk berlatih menyalurkan apa yang kita ada sebelum turun ke medan realiti di tanah air sebagai pegawai kesihatan yang kompeten.Ameen.

Melalui siri-siri mesyuarat saya membina self esteem dan membina kemahiran ucapan umum sedikit demi sedikit.Mungkin kedengaran pelik bagaimana mesyuarat dengan sahabat-sahabat yang lebih kurang sebaya menjadi medium saya belajar perkara-perkara di atas.Ya,itulah pengalaman peribadi yang mendidik diri.Saya masih ingat bagaimana rasa gementar menyelubungi diri apabila ingin menyatakan sesuatu pendapat dalam mesyuarat.Perasaan itu kadangkala lebih pula berbanding gementar ketika menghadapi peperiksaan. Eh,mesyuarat sahaja pun! Bukan dengan sesiapa… Sifat orang Melayu biasanya tidak suka dipandang pelik oleh orang lain.Lebih suka memilih untuk berada dalam golongan majoriti supaya dirinya tidak menjadi perhatian mata-mata lain,walaupun kadang kala golongan minoriti itu yang betul.Melalui mesyuarat saya belajar untuk memberanikan diri menyuarakan pendapat dan pandangan.Saya belajar untuk tidak malu menjadi penentang arus suara ramai,sekiranya pada pertimbangan saya perkara tersebut lebih tepat dan lebih sesuai.Segalanya perlu dinyatakan dengan penuh hikmah dan beradab,dengan menghormati pendapat orang lain juga.Walaubagaimanapun di sini bukanlah tempat untuk kita membuktikan siapa yang lebih hebat.Dalam mesyuarat ada ketika kita terpaksa meninggikan sedikit suara,menyatakan apa yang mungkin menyakitkan,demi mendapatkan resolusi terbaik setelah tamat mesyuarat.Semuanya dilepaskan dalam ruang lingkup yang disediakan.Langkah kaki sahaja di luar mesyuarat,kita seolah-olah menjadi individu berbeza yang tidak dipengaruhi emosi dalam proses mesyuarat tadi.




Hampir satu dekad umur PERUBATAN.Saya sendiri mungkin tidak merasai usia PERUBATAN ketika masih ‘jagung’.Bermula ketika saya di tahun 2 ketika mula-mula terlibat secara langsung dengan gerak kerja PERUBATAN,saya kira tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya kini PERUBATAN sudah bergelar remaja yang semakin matang menghadapi asam garam kehidupan.PERUBATAN pernah diuji dengan ‘zaman gelap’ ketika disenaraihitamkan daripada menggunakan kemudahan Malaysian Hall disebabkan isu yang pada hakikatnya di luar kemampuan kita untuk mengawalnya.Ketika itu sepatutnya PERUBATAN berhak bersuara lantang demi mempertahankan perkara yang benar,namun kita tidak mampu berbuat demikian kerana pada saya kita masih mentah untuk berhadapan dengan suasana genting seperti itu.Saya juga masih ingat beberapa isu yang menjadi hangat dalam kalangan ahli conotohnya isu mengapa PERUBATAN tidak mahu bekerjasama dengan beberapa pihak baik di sini mahupun di Malaysia.Keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa PERUBATAN biasanya mengambil pertimbangan pelgabai aspek secara menyeluruh.Kadang-kadang inilah yang tidak difahami oleh beberapa pihak.Tugas pimpinan ialah menjelaskan,dan tugas para ahli pula ialah menilai pergerakan PERUBATAN dari pandang sisi mereka yang berada di luar,dengan tidak melupakan peranan untuk menampung segala kekurangan yang terlepas pandang oleh pimpinan.Hubungan mutual inilah yang akan menjadikan PERUBATAN lekas terkehadapan dan professional dalam setiap gerak kerjanya.

Senior-senior kita yang sudah berada di Malaysia pernah berkongsi keperitan mereka ketika mahu menubuhkan cawangan-cawangan di muhafazah (governorate) lain.Ketika itu banyak isu ditimbulkan seperti perpecahan ahli yang mungkin akan berlaku sekiranya PERUBATAN di Kaherah melebarkan sayapnya di luar Kaherah.Ya,bukan mudah untuk kita menjaga hati semua ahli.Pimpinan tidak mampu memenuhi kehendak semua ahli yang ragamnya lebih daripada 1001.Bagi saya itu salah satu daripada waktu-waktu sukar PERUBATAN yang banyak mengajar erti kematangan,sekalipun saya hanya mendengar cerita daripada orang yang terdahlu.Kini saya kira warga PERUBATAN mampu bernafas secara selesa sama ada melalui PERUBATAN Induk yang berpusat di Kaherah, mahupun PERUBATAN Cawangan Iskandariah, Mansurah,Tanta, dan adik bongsu Zaqazig.

Wahai warga pembaca terutama yang bergelar ahli PERUBATAN yang dikasihi.. Tentunya PERUBATAN tidak lari daripada kekurangan,kekuatan dan kelemahannya sama seperti setiap organisasi lain.Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah kita ,serta kita,serta KITALAH yang akan memandu ke arah mana hala tuju PERUBATAN.Kita yang akan menentukan sama ada PERUBATAN semakin laju melangkah ke hadapan ataupun jauh ditinggalkan di belakang.Buruk baik PERUBATAN adalah tanggungjawab kita bersama.Seperti yang pernah saya nyatakan dalam status Facebook saya baru-baru ini ; siapa lagi yang akan menjadi penyokong dan pendokong PERUBATAN, kalau bukan kita? PERUBATAN bukan untuk AJKT sahaja ,PERUBATAN untuk kita SEMUA

Saya masih ingat ketika awal-awal saya mendengar penjelasan tentang PERUBATAN,saya begitu kagum kerana dasarnya bersumberkan Al Quran dan As Sunnah. Saya terpegun kerana saya sangkakan PERUBATAN hanyalah seperti persatuan kebajikan yang tidak jauh lari konsepnya daripada Persatuan Sains dan Matematik dan seumpama dengannya di sekolah-sekolah dahulu :D AlhamduLILLAH sehingga kini saya yakin,kesatuan ahli di bawah PERUBATAN adalah kerana ISLAM.Kita berada dalam PERUBATAN kerana ingin membuat gerak kerja Islam..Kalau tidak percaya maka marilah bersama PERUBATAN...InshaAllah,PERUBATAN syumul dan lengkap dari semua sudut kerana dasar yang diletakkan iaitu Al Quran dan As Sunnah. Jika pembawaan PERUBATAN masih tidak selari dengan dasar di atas,maka saya dan ANDA lah yang bertanggungjawab memperbetulkannya~

Mohon maaf jika untuk apa jua bentuk kesalahan.Moga apa yang dicoretkan merupakan hidayah daripada Allah dan bermanfaat kepada saya serta yang lain.

Salam Aidiladha.Pengorbanan(Tadhhiyah) Manifestasi Tarbiyyah.Seeru ala BARAKATILLAH :)

Wassalam.



0 comments: